Kementerian Keselamatan Dalam Negeri meminta polis supaya mengemukakan laporan penuh kepadanya mengenai mengapa ia 'cincai' dalam melakukan penyiasatan sehingga Mahkamah Tinggi Kuantan semalam membebaskan dua lelaki daripada tuduhan membunuh.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Mohd Johari Baharom berkata, ini bukan kali pertama pasukan polis membuat kesilapan besar dalam penyiasatannya, demikian menurut laporan Bernama.

"Kementerian sedar bahawa ada cara untuk melarikan diri daripada peraturan dan terdapat kelemahan-kelemahan dalam penyiasatan polis, dan ini bukan kali pertama mereka (polis) kalah dalam kes bunuh.

"Kadang-kadang kita tidak dapat mengelakkan hal seperti ini disebabkan pegawai polis kurang pengalaman, namun polis telah berjaya menyelesaikan banyak kes bunuh.

"Saya harap polis dapat memberikan penjelasan. Kita harap dapat mencari penyelesaian yang lebih baik bagi masalah ini pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bagi pembinaan sebuah balai polis dua tingkat di Seri Petaling hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuantan membebaskan dua lelaki yang dituduh membunuh Jamzi Afzan Ahmad, 22, di sebuah kebun kecil getah di Lepar Hilir 2, Gambang, tahun lalu.

Syed Halil Syed Mohamad dan Mohd Nazri Jailani, kedua-duanya 23 tahun, diperintahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Halim Aman supaya dibebaskan daripada tuduhan membunuh kerana polis 'cincai' dalam melakukan penyiasatannya.

Pusat latihan

Semasa membebaskan kedua-dua tertuduh, Abd Halim dilaporkan telah bertanya kenapa pegawai penyiasat hanya dua kali melawat tempat pembunuhan, tanpa membawa bersama pakar forensik dan detektif.

Antara lain, beliau berkata beberapa senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa seperti sebatang besi, sepotong kayu dan sebilah kapak juga tidak ditemui di tempat kejadian.

Semasa ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap pegawai penyiasat kes itu, Johari berkata hal itu terpulang kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Mengenai perkara lain yang berkaitan, beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan akan membina lebih banyak pusat latihan untuk pegawai pendakwa dan pegawai penyiasat.

Setakat ini, sebuah pusat latihan telah ditubuhkan di Langkawi, dan pusat-pusat latihan serupa sedang dibina di seluruh negara, tambah Johari.

"Dengan peningkatan jumlah pusat-pusat latihan ini, kementerian percaya bahawa kualiti pasukan penyiasat akan dapat dipertingkatkan kerana lebih banyak penekanan akan diberi kepada aspek pendakwaan, kaedah penyelidikan dan aspek-aspek lain yang berkaitan," katanya.