Kerajaan memandang berat tuduhan dan cerita-cerita yang tidak benar yang disebar di Internet akan digunakan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Norza Zakaria.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan berkata, kerajaan tidak terasa "terancam" dengan kewujudan blog-blog seumpama itu.

"Saya tidak fikir (kerajaan merasa terancam). (Kerajaan) hanya memandang berat tentang cerita-cerita tidak benar dan tuduhan-tuduhan digunakan terhadap kerajaan dalam pilihanraya," katanya dalam temubual dengan malaysiakini di pejabatnya di Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam.

Norza, 41, adalah juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau menarik perhatian kepada kekalahan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Lunas di Kedah pada tahun 2000 sebagai contoh bagaimana Internet boleh mempengaruhi keputusannya.

"Masih ingat Lunas? Mereka (pembangkang) mencetak (cerita-cerita dari Internet) dan mengedarkannya di kampung-kampung. Ia (perbuatan) tidak bertanggungjawab," katanya,sambil menambah, kerajaan perlu berbuat sesuatu bagi mengelak keadaan yang sama berulang.

Norza merupakan bintang yang sedang meningkat naik dalam Umno dan merupakan orang kuat Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

'Pasukan siber Umno'

Berikutan blog-blog politik semakin popular, Umno dilaporkan telah menubuhkan satu pasukan penulis siber - yang juga dikenali sebagai 'pasukan siber' - yang diketuai oleh seorang lagi ahli Majlis Majlis Tertinggi Umno, Datuk Azalina Othman Said.

Pasukan tersebut, yang diitubuhkan bulan lalu, dikatakan ditugaskan untuk melancarkan 'perang siber' untuk menangani tuduhan-tuduhan yang disiarkan di internet terhadap kepimpinan Umno.

Blogger terkenal, Raja Petra Kamaruddin, yang mengendalikan Malaysia Today, mendakwa Norza adalah juga 'orang kuat' pasukan siber Umno itu.

Dia mendakwa, pasukan tersebut yang bertangungjawab menghantar komen-komen yang berunsur hasutan ke blognya yang kini dalam disiasat polis.

Ditanya mengenainya, Norza - yang juga pengasas biro IT Pemuda Umno - menafikan dakwaan pembabitan beliau itu. Beliau juga menafikan Umno telah membayar sebarang penulis untuk melakukan tugas seumpama itu.

"Saya ada membangkitkannya dalam (mesyuarat) Majlis Tertinggi mengenai ketidakseimbangan jumlah bloggers yang anti-establishment dengan yang pro-kerajaan, tetapi ia hanya bertujuan untuk memastikan bahawa pandangan (dalam blog) tidak berat sebelah," katanya.

Sebelum ini, Norza menggesa kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap blogger yang tidak bertanggungjawab.

Beliau membuat kenyataan tersebut selepas Ketua Penerangan PKR, Tian Chua menyiarkan dalam blognya foto palsu yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes perbicaraan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mesti bertanggungjawab

Diminta mengulas lanjut mengenainya, Norza berkata, beliau mahu para blogger supaya bersikap bertanggungjawab terhadap kandungan blog mereka.

Tambahnya, undang-undang yang ada sekarang sudah memadai untuk memantau blogger tetapi kerajaan tidak menguatkuasakannya secara yang berkesan.

Dalam temubual selama satu jam itu, pemimpin Umno itu mengulangi hasratnya untuk melihat dunia siber berkembang subur

Bagaimanapun, beliau mahu kerajaan menghantar 'isyarat' yang kuat kepada blogger bahawa "jika anda berbuat sesuatu yang bertanggungjawab, anda akan berdepan dengan tindakan".

Norza meletakkan kesalahan berhubung kewujudan suasana dalam dunia siber sekarang terhadap para blogger, kerajaan dan media arus perdana.

Katanya, kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap blogger yang tidak bertanggungjawab manakala media arus perdana pula menyiarkan berita yang dipetik dari Internet.

"Mesej saya, contohnya, bukan sahaja ditujukan kepara Raja Putra tetapi juga kepada kerajaan...saya bukan hanya bercakap tentang Raja Petra, tetapi juga apa yang dilakukan oleh kerajaan?' katanya.

Sementara itu, Norza berkata, beliau membaca beberapa blog, termasuk Malaysia Today setiap hari.

"Saya baca (artikel) dan bukan itu saja, saya juga membaca beratus-ratus komen (pembaca Malaysia Today) yang menghentam saya," katanya.

Norza juga berkata, beliau hairan mengapa dia menjadi sasaran utama dalam siri artikel yang disiarkan dalam blog tersebut.

Menurutnya, artikel-artikel berkenaan mengandungi pelbagai tuduhan terhadapnya tetapi tidak pernah menyiarkan penjelasannya.

"Saya tidak pernah bertemu dengan Raja Petra...Semua ini adalah tentang persepsi, dari mereka yang tidak suka melihat generasi muda seperti kami naik, mereka merasa tidak selamat dan membuat khabar angin, tetapi di manakah fakta-faktanya?" katanya.

Esok: Khairy dan meritokrasi dalam Umno