M'sia bekal bantuan kemanusian kepada Darfur
Malaysia hari ini bersetuju membekalkan bantuan kemanusiaan kepada Sudan, bagi membantu usaha menyelesaikan masalah pelarian dalam negara (IDP) di Darfur.
Malaysia hari ini bersetuju membekalkan bantuan kemanusiaan kepada Sudan, bagi membantu usaha menyelesaikan masalah pelarian dalam negara (IDP) di Darfur.
Konflik Darfur merupakan krisis kompleks membabitkan tentera Sudan, kumpulan militan dan pelbagai kumpulan pemberontak. Berjuta-juta penduduk kawasan itu menjadi pelarian dalam negara sendiri akibat konflik yang bermula pada bulan Februari 2003.
Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, keputusan itu dibuat sehari selepas Malaysia menawarkan diri untuk menyertai misi pasukan pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Darfur, bagi mengembalikan keamanan di wilayah yang bergolak itu, demikian menurut laporan Bernama.
Malaysia, katanya, memutuskan untuk membekalkan bantuan kemanusiaan selepas Presiden Sudan, Omar Hassan Ahmed Al-Bashir menyampaikan permohonan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu mesyuarat dua hala antara kedua pemimpin.
Kedua-dua pemimpin itu berada di Langkawi untuk menghadiri Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2007.
"Kita sudah (bersetuju), tapi ada beberapa isu berhubung soal amaun, kuantum dan bentuk sebenar (bantuan yang perlu diperjelaskan). Menteri Luar Sudan sudah menyerahkan kepada saya senarai perkara yang boleh dibantu Malaysia, saya sedang mengkajinya," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata Sudan sebelum ini meminta Malaysia membekalkan bantuan kemanusiaan dalam bidang-bidang seperti perumahan, sekolah dan bekalan air.
Perbincangan dua hala
"Sekarang pihak Sudan sudah serahkan kepada saya permohonan mereka untuk bantuan kemanusiaan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, dan tentang bagaimana kita boleh menyumbang dalam soal berhubung perumahan dan pembinaan," tambahnya.
Syed Hamid berkata Malaysia akan menentukan jenis bantuan kemanusiaan yang boleh dibekalan selepas wakil khasnya ke Sudan, Datuk Syed Ariff Fadzillah kembali dari misi mendapatkan maklumat di negara itu.
Semalam Abdullah berkata Presiden Sudan Omar Hassan ada menyampaikan hasratnya semasa perbincangan dua hala, untuk melihat Malaysia menghantar pasukan pengaman ke negaranya.
Selain itu Sudan mahukan Malaysia supaya terbabit dalam pembangunan semula Darfur, supaya semua pelarian dalam negara itu boleh kembali ke tempat asal masing-masing.
"Mereka juga perlu diberikan bantuan dari segi makanan, perubatan, air dan pendidikan buat anak-anak mereka," kata Abdullah.
Dalam perkembangan terbaru, media asing hari ini melaporkan bahawa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan perantara Kesatuan Afrika berkata satu mesyuarat kumpulan pemberontak di Tanzania bersetuju untuk mewujudkan platform rundingan bersama bagi mencapai keamanan, dengan kerajaan Sudan.
Minggu lalu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bersetuju menghantar anggota pasukan pengaman seramai 26,000 ke wilayah barat Sudan itu, dan pelawaan secara lisan kepada Malaysia untuk turut serta dalam pasukan itu menerima sokongan Amerika Syarikat.

