Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saranan' elak sindrom Down: Doktor kecam doktor
Diterbitkan:  Jul 12, 2024 8:18 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Saranan seorang doktor agar wanita yang ingin merancang kehamilan mengambil makanan tambahan bagi mengelak bayi yang dilahirkan mempunyai masalah sindrom Down telah mengundang kritikan.

Tampil menyangkal saranan tersebut, doktor perbidanan dan pakar sakit puan Dr Imelda Balchin menegaskan saranan tersebut jelas tidak beretika dan salah.

“Doktor ini tak masuk kelas ke masa di sekolah perubatan? Dia tak belajar anak sindrom Down ada kromosom terlebih satu, bukan masalah nutrisi ibunya sebelum mengandung.

“Kalau pelajar perubatan jawab soalan macam ini, (dengan) menyatakan beli produk kesuburan yang ada mineral untuk elak dapat anak sindrom Down, dia tak boleh lulus peperiksaan perubatan dan tak boleh jadi doktor,” tegasnya melalui hantaran di media sosial.

Terdahulu, seorang doktor yang juga salah seorang pengasas syarikat pemakanan kesihatan menyarankan wanita yang sedang merancang kehamilan agar mengambil beberapa multivitamin bagi mengelak kelahiran bayi sindrom Down.

Dalam perkongsian di media sosial itu, doktor tersebut berkata suami isteri perlu mengambil beberapa jenis multivitamin dalam tempoh tiga bulan sebelum merancang kehamilan.

“Bagi mengelakkan sindrom Down, suami, isteri boleh mula ambil nutrisi yang baik tiga bulan sebelum merancang kehamilan. Makan makanan seimbang dengan cukup asid folik, vitamin D dan zink.

“Isteri boleh makan sayur hijau, buah dan bijirin penuh. Suami pula boleh tingkatkan pengambilan makanan seperti kacang, daging tanpa lemak dan telur. Elakkan makanan segera dan minuman bergula,” kongsinya.

Malaysiakini dalam usaha mendapatkan penjelasan lanjut doktor terbabit berhubung perkongsiannya itu.

Mengulas lanjut, Dr Imelda menyifatkan saranan itu telah menimbulkan kebimbangan ramai.

“Sekarang ada ibu kepada anak sindrom Down dah hantar video TikTok itu kepada saya, minta saya ambil tindakan. Sebab ibu ini sangat sedih melihat doktor terbabit memperbodohkan masyarakat demi menjual produknya.

“Tak pernah ada bukti pun nutrisi di dalam susu yang dia jual itu boleh mengelakkan anak sindrom Down.

“Jika benar, sudah lama ini menjadi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tegasnya.

Tambahnya, jika benar doktor terbabit ingin mengubah garis panduan yang dibuat KKM, dia perlu menyambung pengajiannya untuk menjadi pakar perubatan dan membuat kajian bagi membuktikan kesahihan saranannya.

“Jangan menipu masyarakat. Jangan menyalahgunakan gelaran doktor untuk tujuan penipuan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Imelda berkata mana-mana pihak yang mahu doktor terbabit dikenakan tindakan perlu membuat aduan kepada Majlis Perubatan Malaysia.

“Pesanan saya kepada semua wartawan televisyen, radio, majalah, berita, janganlah pergi temubual doktor yang jual produk dan menyebarkan auta. Semoga penipu di dalam masyarakat kıta insaf,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS