Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Remaja termakan biskut beracun: Pekebun direkod keterangan bantu siasatan
Diterbitkan:  Jul 15, 2024 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Polis telah merekodkan keterangan seorang pekebun hari ini bagi membantu siasatan kejadian remaja lelaki yang dimasukkan ke hospital selepas termakan biskut dipercayai dicampur racun di sebuah kebun di Chukai, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata lelaki berusia lingkungan 70-an itu telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, di Chukai pada 2 petang tadi.

“Kita (polis) panggil dia untuk beri keterangan terlebih dahulu. Sama ada dia akan ditangkap atau tidak, perkara itu masih dalam kajian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sampel biskut itu juga telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Semalam Hanyan berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang Jumaat lepas, remaja terbabit yang tinggal di Kampung Air Putih di Chukai, dalam perjalanan dari rumahnya ke sungai untuk memancing sebelum mengambil biskut yang diletakkan di dalam plastik di sebuah kebun.

Selepas itu remaja itu, Mohd Daynail Haikal Alias,13, dikatakan rebah tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Air Putih oleh bapa rakannya, sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman.

Bapanya Alias Saras, 57, ketika dihubungi Bernama berkata anaknya dijangka keluar dari hospital petang ini.

“Insya-Allah dia akan pulang ke rumah hari ini. Sekarang kami sedang menunggu surat kebenaran untuk keluar wad.

"Keadaannya sudah semakin pulih dan ada selera makan hari ini,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur kerana anaknya selamat.

Menurut Alias, Mohd Daynail Haikal bagaimanapun masih trauma apabila terkenangkan kejadian itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS