Festival George Town 2024 menurunkan video promosi mereka dan memohon maaf, setelah dikritik hanya menonjolkan budaya Cina dan India.

“Pasukan George Town Festival 2024 berasa kesal sekiranya video teaser promosi dengan tidak sengaja telah menyinggung perasaan sesetengah individu dan kumpulan.

 “Demi mengurangkan salah faham, pasukan George Town Festival 2024 telah menurunkan semua siaran yang berkaitan dengan video tersebut,” jelas mereka.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan timbul salah faham.

Pagi ini, Malaysiakini melaporkan aktivis tempatan Abdul Rahman Maidin, menggesa penganur memohon maaf dan menarik balik video promosi itu.

Pengerusi Institut Kesedaran Rakyat (IKR) itu berkata video itu tidak menjaga sensitiviti masyarakat Melayu di Pulau Pinang.

Semalam Pengarah Artistik GTF 2024, Ling Tang memberitahu bahawa video tersebut dihasilkan untuk menunjukkan kepakaran seniman terpilih, bukan berniat untuk membawa imej budaya mereka.

Menegaskan berusaha mengetengahkan penampilan inklusif, dia berkata lapan individu dan kumpulan masyarakat Melayu akan terlibat dalam acara itu.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, penganjur juga berkata mereka mementingkan keharmonian dalam kepelbagaian masyarakat.

“Pasukan George Town Festival 2024 akan terus mempromosikan George Town Festival sebagai festival yang memupuk semangat muhibah demi mewujudkan masyarakat Malaysia madani yang makmur.

“Kami akan terus berusaha untuk menjayakan George Town Festival 2024 dengan rendah diri,” jelas mereka.