Seorang warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan menyeleweng 322 liter minyak diesel pada minggu lalu.
Witthaya Choochien, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Thai di hadapan hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Pemandu lori itu didakwa memiliki barang kawalan iaitu 322 liter minyak diesel tanpa lesen dalam tangki tambahan sebuah lori bernombor pendaftaran Thailand di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 6.05 pagi pada 11 Julai lepas.
Atas perbuatan itu Witthaya melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Siti Nurdinasafira Mohd Sakri memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh.
Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Lim Wei Yong yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya perlu menyara seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dan menetapkan 9 Sept ini sebagai tarikh serahan laporan kimia.
- Bernama
