Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan umum Pakej Rahmah Prabayar Siswa
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 3:51 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga tidak melebihi RM30 dengan permulaan data minimum sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.

Menterinya Fahmi Fadzil semasa mengumumkan perkara itu berkata pakej tersebut khusus untuk golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) terpilih.

“Pakej Rahmah Prabayar Siswa ini boleh dilanggan mulai 16 Ogos depan menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES).

“Tawaran pakej ini merupakan hasil perluasan Pakej Internet Mudah Alih (prabayar) Rahmah yang diperkenalkan pada tahun lepas,” katanya ketika merasmikan Persidangan Etika dan Tanggungjawab Komunikasi Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa.

Fahmi berkata pakej itu merupakan usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat, sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar semasa sesi pengajian dan pembelajaran.

Menurut Fahmi maklumat lanjut mengenai Pakej Rahmah Prabayar Siswa akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Katanya senarai lengkap IPTA dan ILKA yang terpilih pula akan dimaklumkan menerusi laman web Kementerian Komunikasi di www.komunikasi.gov.my.

Pada sidang media selepas itu Fahmi berkata Pakej Rahmah Prabayar Siswa boleh dilanggan oleh semua pelajar di IPTA dan ILKA.

“Kita akan mulakan (inisiatif ini) untuk semua pelajar IPTA dan ILKA dahulu, dan kemudian kita akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk menyebarluaskan pakej tersebut.

“Dalam Pakej Rahmah Prabayar Siswa, kerajaan tak buat apa-apa bayaran tetapi syarikat telekomunikasi cukup baik hati untuk mengurangkan caj (untuk mahasiswa),” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS