PKR: Kepada siapa ditujukan Qunut Nazilah itu?
PKR mengecam tindakan ahli parlimen pembangkang yang menyambut keputusan Dewan Rakyat menggantung Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam dengan membaca Qunut Nazilah.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan, berkata amalan membaca qunut itu dilakukan Rasulullah SAW khususnya ketika peperangan Ahzab.
Katanya Qunut Nazilah juga dikenali sebagai doa untuk menghancurkan musuh dan dalam konteks sejarah nabi, ia melibatkan kumpulan orang Islam dengan orang kafir.
“Di sini saya ingin bertanya: pihak mana yang ditujukan Qunut Nazilah itu? Kelompok ahli parlimen bukan Islamkah? Atau semua ahli parlimen yang menyokong hukuman (ke atas Wan Ahmad Fayhsal) termasuk yang Islam.
"Adakah mereka dianggap sebagai orang-orang kafir sama seperti musyrikin Mekah?
“Adakah kelompok itu (ahli parlimen yang menyokong penggantungan) adalah kelompok yang sewajarnya digonggong batang leher mereka oleh anjing-anjing Allah?
"Adakah itu pendirian dan pandangan mereka?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, ahli parlimen pembangkang ‘menyambut’ keputusan Dewan Rakyat menggantung Wan Ahmad Fayhsal dengan membaca Qunut Nazilah. Ia diketuai Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Wan Ahmad Fayhsal (PN-Machang) digantung daripada menghadiri sidang parlimen selama enam bulan ekoran usul Jabatan Perdana Menteri kerana membangkitkan menggunakan surat layang ketika berbahas.
Surat layang itu terkait dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan.
Kata Amidi menyamakan persaingan politik antara parti dengan perseteruan Rasulullah SAW dan umat Islam dengan musyrikin Mekah adalah jelas sikap ketaasuban sempit kepartian, justeru bukan ajaran Islam.
“Islam seharusnya menjadi landasan dalam berpolitik. Bukan sahaja dari sudut akidah dan syariah tetapi juga akhlak.
“Jangan menjadikan agama Islam sebagai tunggangan bagi meraih sokongan politik,” katanya.
Sehubungan itu, Amidi menggesa pihak berkenaan khususnya mufti memberikan pencerahan yang sewajarnya berhubung tindakan PN.
“Jangan sampai perbezaan pendirian politik memutuskan tali persaudaraan Islam sesama kita.
“Inilah sikap ghuluw (melampau) yang mungkin menjurus kepada fikrah Khawarij," katanya.
Untuk rekod beberapa bulan lalu insiden membaca Qunut Nazilah pernah berlaku semasa pertandingan ragbi membabitkan beberapa sekolah menengah di Sabak Bernam, Selangor.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/7e86772a19414191c32667910c8208c9.jpg)
