Ekonomi Malaysia masih berkembang walaupun terdapat dakwaan sebaliknya, kata Rafizi Ramli.

Dalam kenyataan di media sosial untuk menjawab pengkritiknya, Menteri Ekonomi itu memetik anggaran awalan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan awal hari ini.

“Prestasi baik ini dijangka akan terus mendorong pengukuhan nilai ringgit dan kenaikan pasaran saham, selain terus menarik pelaburan yang mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat.

"Kita akan sering terdedah kepada risiko pembodohan di media sosial yang mengatakan ekonomi negara merudum, tetapi fakta-fakta ini membezakan antara mereka yang menghormati ilmu dan mereka yang memalingkan muka dari ilmu," katanya.

Terdahulu, dalam mengeluarkan anggaran awalan KDNK bagi suku kedua 2024, Jabatan Perangkaan berkata KDNK Malaysia telah berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku tersebut.

Ini bermakna KDNK dianggarkan tumbuh sebanyak 5 peratus pada separuh pertama 2024 - berbanding 4.1 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas - dan arah aliran itu dijangka berterusan untuk sepanjang tahun ini.

Rafizi berkata ini selari dengan sasaran kerajaan iaitu 4 hingga 5 peratus pertumbuhan KDNK tahun ini.

Ini adalah tambahan kepada kedudukan ringgit sebagai mata wang Asia berprestasi kedua terbaik, dan pertumbuhan nilai pasaran saham Malaysia sebanyak lebih 20 peratus sejak tahun lepas.

“Walaupun data-data ekonomi menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, ramai yang tidak mahu menerima fakta-fakta ini,” katanya.