Penjualan OCAB penting untuk masa depan Maika
Maika Holding, syarikat pelaburan MIC mahu menjual syarikat insuransnya bagi meringankan beban kewangannya akibat kadar bayaran balik faedah pinjaman yang tinggi serta kerugian terkumpul yang dialami oleh syarikat tersebut.
Maika Holding, syarikat pelaburan MIC mahu menjual syarikat insuransnya bagi meringankan beban kewangannya akibat kadar bayaran balik faedah pinjaman yang tinggi serta kerugian terkumpul yang dialami oleh syarikat tersebut.
Sehingga ini, Maika telah membayar RM11 juta faedah pinjaman bank bagi pinjaman yang diambilnya pada 2001. Pinjaman tersebut diambil untuk menambah modal berbayar Maika dalam Oriental Capital Assurance Berhad (OCAB).
Dan tahun lalu, syarikat insurans tersebut mengalami kerugian RM9.33 million.
Selepas mengambil kira faktor kewangan tersebut, para pengarah Maika bersetuju untuk menjual syarikat insurans tersebut demi kebaikan syarikat berkenaan, kata Pengerusi Maika, Abdul Rashid Abdul Manaf dalam satu notis yang dihantar kepada para pemegang saham Rabu lalu.
Menurutnya, lembaga pengarah Maika telah bersetuju untuk menerima tawaran dari firma kejuruteraan Salcon Bhd untuk membeli 74.16 peratus pegangan Maika dalam OCAB pada harga RM129.8 juta.
"Dengan penjualan keseluruhan pegangan 74.165 peratus dalam OCAB, pihak syarikat (Maika) akan memperolehi aliran tunai sebanyak RM129.8 juta," katanya.
Kini satu resolusi akan dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunan Maika pada 30 Ogos ini untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi meneruskan penjualan tersebut.
OCAB merupakan syarikat insurans am dengan modal berbayar kira-kira RM100 juta. Ia ditubuhkan pada 1976 dan merupakan antara syarikat insurans tertua di Malaysia.
Gagal disenaraikan
Maika mula membeli ekuiti dalam syarikat insurans tersebut sejak 1986 dan menjadi pemegang ekuiti terbesarnya pada 1994, dengan pegangan lebih 63 peratus dalam modal berbayar sebanyak RM42.6 million.
Berikutan arahan Bank Negara pada 2001 kepada semua syarikat insurans supaya menambah modal berbayar mereka kepada RM100 juta atau lebih, maka Maika telah mencadangkan pengeluaran hak dan bonus bagi saham-sahamnya. Ia juga mengambilalih Capital Insurans Berhad pada tahun yang sama.
Untuk melakukannya, Maika telah mengambil pinjaman sebanyak RM28.3 juta dari Bank CIMB, dengan membayar faedah pinjaman antara 8.5 peratus hingga 9 peratus setahun.
Menurut Abdul Rashid, Maika berharap dapat menyelesaikan pinjaman tersebut dengan menyenaraikan syarikat berkenaan di Bursa Malaysia.
Perancangannya ialah, selepas disenarainya, 30 peratus pegangannya dijual pada seorang rakan kongsi bumiputera dan menyelesaikan pinjaman tersebut.
"Bagaimanapun, ekoran beberapa sebab dan harga penyenaraian, rancangan penyenaraian tersebut telah ditangguhkan dan kemudiannya telah dibatalkan," tambah Abdul Rashid.
Sekarang Maika berharap, apabila memperolehi kelulusan pihak berkuasa dan pemegang sahamnya, wang hasil penjualan syarikat insurans tersebut boleh digunakan untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman kepada Bank CIMB dan obligasinya kepada Danaharta Managers Sdn Bhd.
Pada masa ini, pinjaman serta faedahnya berjumlah RM55.5 juta, termasuk RM36.2 juta kepada Danaharta.
Abdul Rashid berkata, tawaran Salcon itu adalah yang terbaik kerana syarikat itu bersedia membayar RM1.75 sesaham, berbanding nilai buku sebanyak RM1.03 sesaham.
"Demi kebaikan para pemegang saham dan masa depan Maika, selepas mengambil kira kedudukan kewangan syarikat, maka inilah adalah masanya untuk menerima tawaran tersebut," kata Abdul Rashid.
Maika berharap jualan tersebut akan membolehkannya menyelesaikan hutang tertunggak dan pada masa yang sama, mempunyai simpanan aliran tunai yang mencukupi.
Berakhirnya Maika?
Bagaimanapun, para pemegang saham, tidak gembira dengan cadangan tersebut. Ramai yang bercakap kepada malaysiakini, berkata mereka menentang resolusi penjualan syarikat insurans itu dalam mesyuarat agung tersebut.
"Adakah ini menandakan berakhirnya Maika? adakah itu rancangannya? syarikat insurans tersebut adalah satu-satunya aset aktif Maika yang masih ada. Jika itupun dijual, maka apa lagi yang Maika ada?" soal seorang pemegang saham yang juga seorang ahli perniagaan VK Vembarasan (foto).
Menurutnya, para pengarah Maika mesti bertangunggjawab mengapa syarikat insurans itu mengalami kerugian.
"Mereka mesti memberitahu sebab-sebabnya kepada para pemegang saham," katanya.
Bekas seorang pemimpin tinggi MIC juga bertanya rasional di sebalik penjualan syarikat insurans tersebut.
"Pada masa lalu, aset-aset Maika yang menjana wang, turut dijual pada harga yang murah. Jelas berlaku salah pengurusan dalam penjualan aset-aset tersebut," katanya.
"Jika mereka melakukannya dengan berhati-hati, kedudukan kewangan Maika pastinya teguh sekarang," tambahnya.
Beliau juga mahu lembaga pengarah Maika menjelaskan mengapa rancangan penyenaraian syarikat insurans itu gagal dilakukan.
Sambil menyalahkan lembaga pengarah Maika terhadap apa yang telah berlaku, beliau berkata banyak projek-projek besar tidak berjaya dilaksanakan.
Pada masa ini, terdapat 14 syarikat yang tidak aktif di bawah Maika. Sehingga tahun lalu, OCAB, hanya satu-satunya entiti yang menjana kewangan syarikat.
Hutang lapuk
Dalam laporan tahunan 2006 yang telah dihantar kepada pemegang saham, Maika mendedahkan ia sebenarnya mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.6 juta.
Bagaimanapun, ia mengalami kerugian sebanyak RM9.03 juta di peringkat kumpulan, dan menyatakan sebab utamanya ialah kerugian yang dialami oleh OCAB tahun lalu.
Laporan tersebut berkata, OCAB telah melupuskan hutang lapuk yang berjumlah RM13.9 juta.
Laporan tahunan itu juga menyatakan bahawa Maika telah mengurangkan jumlah pinjamannya daripada RM53.3 juta pada 2004 kepada RM18.3 juta sekarang.
Sebuah lagi anak syarikatnya, Semenyih Brickmakers berhubung RM34.3 juta kepada Danaharta Managers.
Maika, yang diilhamkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, ditubuhkan pada 1982 untuk membantu masyarakat India Malaysia berkongsi pertumbuhan ekonomi negara.
Syarikat tersebut telah berjaya mengumpulkan RM106 juta pada 1984 dari 66,000 pelabur tetapi sebahagian pemegang sahamnya - selepas gagal mendapat pulangan yang memuaskan daripada pelaburan mereka itu - telah mendakwa bahawa modal tersebut telah disalahgunakan.
Ramai pemegang saham Maika terdiri daripada pekerja ladang yang telah menggadaikan barang kemas serta menggunakan simpanan mereka untuk melabur dalam syarikat tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Maika ialah anak lelaki Samy Vellu - Vell Paari. Berita asal

