• Nota editor: Artikel ini dipinda pada 9 Ogos 2024, dengan membuang nama kanak-kanak itu.


Motif kes culik seorang kanak-kanak enam tahun pada 20 Julai lepas akan didedahkan hanya selepas polis melengkapkan siasatan berhubung kes itu tidak lama lagi, kata Ketua Polis Johor CP M Kumar.

Beliau berkata buat masa ini maklumat berkenaan tidak didedahkan kepada umum bagi menggelak ia daripada mengganggu siasatan.

M Kumar

"Kita melakukan siasatan secara menyeluruh. Bagaimanapun laporan perubatan yang diterima mengesahkan kanak-kanak ini tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru hari ini.

Kanak-kanak itu ditemukan selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor pada 4.45 pagi 23 Julai lepas, tiga hari selepas dia dilaporkan hilang di sebuah pusat beli-belah dan polis telah menahan reman seorang suspek lelaki berumur 31 tahun bagi membantu siasatan.

- Bernama