PRK NENGGIRI | Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) hari ini menawarkan diri untuk mengurus dan mengatasi masalah bekalan air bersih di selatan negeri itu jika ia masih gagal ditangani syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Pengerusi Kesedar, Zawawi Othman, berkata isu air sudah lama membelenggu penduduk Kelantan dan ia menjadi bukti kegagalan AKSB menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri tersebut.
"Masalah air ini, yang patut disalahkan ialah AKSB, tapi nasib baik (isu) air di Kelantan ini, kerajaan pusat melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kesedar membantu menyediakan air (tandak) di Kelantan.
"Bagaimanapun ada masa tertentu air tandak ini juga bermasalah, dan jangan salahkan kerajaan pusat sebab ini bukan tanggungjawab dia (Putrajaya), dia hanya membantu.
"Dan kalau dia (kerajaan Kelantan) tak mampu, dia boleh surrender (serah hak), dan kita di Kesedar sanggup menjadi syarikat pengendali air ini," katanya pada sidang media di Gua Musang petang ini.
Isu bekalan air bersih sinonim dengan Kelantan kerana telah berlanjut sejak puluhan tahun lalu.
Sebagai inisiatif bagi mengatasi masalah tersebut, orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman menggunakan sistem tandak iaitu bergantung kepada air dari bukit yang disalurkan ke kediaman masing-masing.
Dakwa kerajaan negeri gagal
Namun kemudahan itu tidak terjamin bebas daripada masalah kerana ia terdedah kepada isu persekitaran seperti pencemaran apabila berlaku kegiatan pembalakan secara tidak terkawal.
Pada Mac lalu, kerajaan negeri meminta penduduk Kelantan bersabar kerana yakin masalah bekalan air bersih dapat diatasi selesai sepenuhnya pada 2027.
Malah menurut Exco Jawantankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Izani Husin, apabila apabila semua loji yang dinaik taraf atau dibina siap tiga tahun lagi, negeri itu akan mempunyai lebihan bekalan air.
Zawawi berkata, dia yakin Kesedar mempunyai kemampuan untuk meringankan beban penduduk Kelantan yang berdepan masalah air sejak sekian lama.
"Kalau tak nak bagi seluruh Kelantan Selatan pun bagilah Gua Musang, insya Allah kita akan buat yang terbaik," katanya.
Zawawi yang juga Ketua Penerangan Umno Kelantan berkata kegagalan menguruskan air Kelantan menyebabkan rakyat negeri itu terus berada dalam kesulitan.
"Ini menunjukkan kegagalan kerajaan negeri mengurus anak-anak syarikat dia untuk memberi kebaikan dan kemudahan kepada rakyat Kelantan, selain menyebabkan kesulitan," katanya lagi.
