Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pucuk pimpinan tak kompromi salah laku warga PDRM
Diterbitkan:  Aug 14, 2024 11:08 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap warga pasukan keselamatan itu jika didapati terlibat dalam salah laku atau melanggar peraturan, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Katanya sejak Jan sehingga Jun lalu, jumlah kertas siasatan yang dibuka berkaitan salah laku dan pelanggaran peraturan oleh warga PDRM menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sepanjang 2023.

“Dari Jan hingga Jun 2024, sebanyak 1,760 kertas siasatan telah dibuka berbanding 1,665 kertas siasatan sepanjang 2023,” katanya pada perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di Kuala Lumpur hari ini.

Razarudin berkata JIPS akan diminta mencari penyelesaian berbentuk pencegahan dalam menangani isu-isu berhubung salah laku dalam kalangan warga Sang Saka Biru itu.

“Sebagai titik tumpuan kepada pengurusan isu-isu integriti dalam PDRM, JIPS perlu lebih proaktif mencari penyelesaian terbaik untuk mencegah pelanggaran etika sebelum ia menjadi barah dalam pasukan.

“Pengesanan awal salah laku membolehkan tindakan korektif dilaksanakan berbanding tindakan punitif,” katanya.

Razarudin berkata program Naziran Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bagi tempoh Mac hingga Jun lalu mendapati tindakan dan prosedur kerja oleh warga PDRM tidak mematuhi arahan dan ketetapan sedia ada.

Naziran suruhanjaya itu juga membangkitkan dua perkara utama iaitu pengurusan dan kebajikan meliputi isu pengurusan kewangan, sumber manusia, pengurusan aset, bangunan, latihan, elaun dan kemudahan, kuarters dan beban tugas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS