Pemimpin sementara Bangladesh Muhammad Yunus memberi jaminan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa layanan saksama akan diberikan kepada semua warga Bangladesh, termasuk golongan minoriti.

Perkara itu didedahkan Anwar selepas menghubungi “sahabat lamanya” malam tadi bagi mengucapkan tahniah susulan pelantikannya sebagai ketua penasihat kepada kerajaan interim Bangladesh.

“Prof Yunus mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Malaysia. 

“Justeru, saya telah memberi jaminan kesediaan Malaysia untuk membantu Bangladesh mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara itu.

“Saya juga gembira dengan jaminan yang diberikan oleh beliau untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti,” katanya.

Yunus, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, menerajui kerajaan sementara yang dibentuk minggu lepas selepas perdana menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri.

Rakyat Bangladesh bangun memberontak terhadap pemerintahan Hasina, bermula dari tuntutan pelajar supaya kerajaan menghapuskan sistem kuota pekerjaan kerajaan.

Lebih 500 orang dilaporkan terbunuh dalam keganasan kira-kira sebulan di negara itu.

Dalam kenyataannya di media sosial pagi ini, Anwar juga berkata Yunus turut mengundangnya melakukan lawatan pendek ke Bangladesh dalam masa yang terdekat.

Lawatan itu, kata Anwar, bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.

Serangan terhadap penganut Hindu

Semalam, bekas anggota parlimen DAP Charles Santiago mendesak Anwar bersuara supaya keganasan terhadap penganut Hindu di Bangladesh ditamatkan.

Katanya, terdapat kumpulan-kumpulan Hindu di Malaysia kesal dengan tindakan Anwar berdiam diri dalam isu itu.

Protes antikerajaan di Bangladesh

P Ramasamy, bekas ketua menteri Pulau Pinang yang kini memimpin parti India baru, turut mempersoalkan perkara itu.

Dilaporkan seorang guru terbunuh dalam serangan terhadap penduduk di rumah ibadat dan tempat perniagaan penganut Hindu di Bangladesh.

Penganut Hindu menjadi sasaran kerana dianggap sebagai penyokong parti Hasina, Liga Awami.