Pengasas Borneo Komrad Mukmin Nantang dan empat orang lagi ditahan di Pulau Bodgaya, Semporna, hari ini.

Anggota NGO itu yang enggan dinamakan memberitahu Malaysiakini, mereka ditahan kerana didakwa mengganggu operasi pengusiran “penduduk haram” di Taman Marin Tun Sakaran di Semporna.

“Mukmin mesej kami kira-kira pukul 11:30, maklumkan penahanan itu, katanya mereka dibawa ke Pejabat Sabah Parks,” katanya.

Isnin lalu, sekurang-kurangnya lapan keluarga hilang tempat berteduh susulan operasi itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Fauzi Abd Kadir mengesahkan penahanan itu tetapi berkata polis tidak terlibat.

Katanya, penahanan itu dibuat untuk tujuan dokumentasi dan siasatan bawah Enakmen Taman Sabah.

Malaysiakini telah menghubungi Taman-taman Sabah, badan berkanun negeri, dan masih menunggu maklum balas mereka.

Kena denda RM3,000

Selepas soal siasat selama lebih lima jam, kelima-limanya dibebaskan pada kira-kira jam 7.30 malam.

Menurut sumber Borneo Komrad, Mukmin dan empat individu lagi ditahan di Pulau Bodgaya dan dibawa ke pejabat Taman-taman Sabah di Semporna.

“Soal siasat bertumpu kepada kemasukan mereka ke taman negeri dan jika mereka ada permit.

“Selepas soal siasat tamat, setiap mereka didenda RM3,000,” katanya.

Dokumen yang dilihat Malaysiakini mengesahkan yang denda itu dikenakan di bawah Seksyen 48(1)(p) dan Seksyen 53(1)(c) Enakmen Taman-taman (Pindaan) 2007.

Dokumen itu turut menyatakan mereka perlu membayar denda dalam tempoh 14 hari bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

[Baca berita asal]