Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menyifatkan gesaan dua pemimpin Umno agar parti itu terus menentang komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) oleh Hew Kuan Yau, sebagai tidak menghormati keputusan mahkamah.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan komik itu tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan langkah kerajaan yang membatalkan pengharamannya.

Dalam kenyataan hari ini, Kok juga mendakwa anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Semua pihak perlu melupakan prejudis lalu dan terus melihat ke hadapan. Buat masa ini, misi utama adalah berkenaan kepentingan rakyat serta memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi. 

“Mahkamah telah mengeluarkan penghakiman penuh yang jelas menyatakan buku tersebut tidak mengandungi kandungan hasutan seperti yang didakwa dalam akuan bersumpah Menteri Dalam Negeri,” kata Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh.

Terdahulu, Puad menggesa keajaan mengharamkan semula buku tersebut, manakala Akmal berkata kerajaan perlu menimbang untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pembatalan larangan buku itu dinyatakan dalam warta kerajaan yang diterbitkan semalam dan ditandantangani Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Mengulas lanjut, Kok berkata walaupun Saifuddin tidak setuju dengan pandangan Hew dan kandungan buku itu, ia tidak cukup untuk menjadi sebab pengharamannya, seperti yang dinyatakan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan.

“Apabila Kementerian Dalam Negeri menghormati dan melaksanakan keputusan mahkamah, ia secara tidak langsung mempertahankan hak asasi rakyat Malaysia, terutamanya hak kebebasan bersuara dan penerbitan

“Puad dan Akmal harus menghormati kebebasan kehakiman dan keputusan mahkamah, bukannya terus menyeru kerajaan melanggar perintah mahkamah dan cuba untuk kembali kepada pemikiran kerajaan autoritarian.

“Kita harus meninggalkan cara pemikiran lama yang penuh dengan perpecahan dan ketakutan dan memandang sejarah dari sudut yang lebih terbuka dan rasional,” katanya lagi.

Hew dalam hantaran di Facebook menyuarakan penghargaan kepada sokongan yang diberikan Kok.

“Terima kasih Teresa Kok atas sokongan dan setiakawan anda. Hormati kedaulatan undang-undang, pertahan kerasionalan, tolak fitnah, tolak sikap mensensasikan yang ekstrem,” kata bekas ahli DAP itu.

‘Jahil terhadap asas penghakiman’

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh turut membidas Puad dan Akmal, menyifatkan gesaan mereka dibuat tanpa asas dan atas kejahilan terhadap asas penghakiman.

Dia secara khusus memetik bahagian penghakiman yang menyatakan “jika dilihat secara objektif, dalam buku itu tidak ada apa-apa yang mengapi-apikan untuk melagakan satu kaum dengan yang lain atau menghina sentimen perkauman atau agama sesiapa atau mencetuskan ketegangan kaum seperti yang didakwa dalam afidavit menteri”.

Ramkarpal Singh

Dia juga membangktikan penghakiman Mahkamah Rayuan yang menyatakan Menteri Dalam Negeri gagal menunjukkan kandungan komik yang boleh membahayakan kepentingan awam dengan menghasut pergolakan kaum, ketidakharmonian atau rusuhan.

“Saya tidak lihat ada asas lain yang boleh digunakan kerajaan untuk mengeluarkan satu lagi Perintah Larangan untuk mengharamkan semula komik itu.

“Malah, jika Menteri Dalam Negeri ingin teruskan pengharaman dengan mengeluarkan Perintah Larangan baru yang menggunaka asas yang sama, jelas dia akan menghina mahkamah,” kata bekas timbalan menteri undang-undang itu lagi.