Paling Popular
Terkini

PAU 2024 | Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menegaskan bahawa sayap pemuda parti itu bukan 'ejen' kepada Perikatan Nasional (PN).

Akmal berkata Pemuda Umno telah memberi jaminan walaupun Umno berada dalam kerajaan Perpaduan, sayap parti itu akan memastikan nilai perjuangannya tetap tidak berubah.

“Kita tetap akan pertahankan hak-hak Melayu, hak-hak orang Islam dan kedudukan raja Melayu.

“Buktinya apa? Buktinya tuan-tuan boleh tengok sendiri dan nilai. Berapa banyak kita bertelagah dengan jiran-jiran kita ni.

“Sampai ada yang kata Dr Akmal ni...ada yang kata ejen PN, kepala hotak dia.

“Hei, kita ni ahli partilah. Ada juga yang kata Dr Akmal ni..siapa terasa, terasalah, peduli apa aku.

“Ada yang kata Dr Akmal ni bukan team work material. Nak team work material macam mana kalau dah memang mencabar pendirian kita,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Umno hari ini.

‘Ugutan bunuh pun kita tak takut’

Akmal berkata dalam tempoh setahun yang lalu, Pemuda Umno telah membuktikan komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan hak Melayu dan hak orang Islam.

"Tahun yang lalu, tanpa rasa takut, tanpa rasa ragu, kita tegar berhadapan dengan pelbagai isu yang menguji kredibiliti kita sebagai Pemuda Umno.

“Ketika pada masa itu kita lihat sendiri jiran-jiran muda yang lain senyap membisu, Pemuda Umno sajalah yang tampil lantang bersuara.

"Ketika ramai yang takut, tak kiralah parti yang mana, kita berpegang teguh dengan pendirian kita. Kita lawan dan terus lawan untuk pertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Akmal dalam ucapannya juga membangkitkan isu-isu kontroversi yang pernah diperjuangkan sayap Umno itu sepanjang setahun lalu.

"Masih ingat lagi tak isu stoking kalimah Allah KK Mart? Masih ingat lagi tak isu syarikat judi di sekolah? Masih ingat lagi tak isu katak politik? Masih ingat lagi tak isu Blackrock? Masih ingat lagi tak isu bekalan beras tempatan?

“Kalau nak cakap saya rasa setiap hari Pemuda Umno bercakap.

“Ini adalah antara isu- isu besar sepanjang tahun yang lalu yang sangat dekat dengan orang Melayu Islam dan rakyat.

“Siapa yang mempertahankannya. Pemuda Umnolah yang menjadi suara paling lantang memperjuangkannya. Kita lawan, kita kritik, sampai terima ugutan bunuh pun kita tak pernah takut,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS