Mahkamah Tinggi di Singapura hari ini menolak permohonan BSI Bank Limited untuk membatalkan tuntutan 1MDB terhadapnya, melibatkan jumlah sebanyak AS$394 juta dolar (RM1.7 bilion).

BSI dan beberapa bekas pegawainya didakwa membantu memindahkan dana tanpa kebenaran dan terlibat dalam pengubahan wang haram dalam penyelewengan dana 1MDB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam lembaga 1MDB, tindakan ini akan membolehkan tuntutan terhadap BSI diteruskan.

Bagaimanapun, tindakan itu masih tertakluk kepada rayuan.

"Tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha mengembalikan aset global 1MDB yang berterusan untuk menuntut semula berbilion dolar dana yang diselewengkan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memetik jurucakap Lembaga Pengarah 1MDB yang tidak dinamakan, yang berkata: "Kami gembira bahawa permohonan ini telah ditolak dan kami komited untuk menuntut pertanggungjawaban terhadap institusi dan individu yang terlibat dalam penyelewengan wang daripada dana kekayaan berdaulat Malaysia, sambil memastikan pemulihan dan pengembalian aset-aset ini kepada rakyat Malaysia."

1MDB telah menyalurkan AS$1.83 bilion ke luar negara untuk aktiviti usaha sama dengan PetroSaudi International antara tahun 2009 dan 2011.

Ini adalah jumlah yang sama yang kemudiannya diarahkan oleh Bank Negara untuk dipulangkan oleh 1MDB, yang gagal dilakukan oleh syarikat itu dan menyebabkan ia didenda.

Daripada jumlah ini, AS$1.03 bilion tidak disalurkan kepada usaha sama tersebut. Sebaliknya, ia dialihkan ke akaun Good Star Limited di RBS Coutts di Zurich, yang pemilik benefisiarinya adalah ahli perniagaan yang kini diburu, Low Taek Jho (Jho Low).

Lebih daripada separuh daripada jumlah yang dialihkan, atau bersamaan AS$529 juta, telah dipindahkan ke akaun Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corporation (BVI) di BSI Singapura antara 28 Jun 2011 dan 4 Sept 2013. Pemilik benefisiari juga ialah Jho Low.

BSI kini dalam proses pembubaran berikutan arahan penutupan oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura pada tahun 2016, kerana "pelanggaran serius keperluan anti-pengubahan wang haram, pengawasan pengurusan yang lemah terhadap operasi bank, dan salah laku besar oleh beberapa kakitangan bank".

Pada Mac, Kevin Swampillai memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa cawangan Bank BSI di Singapura telah "tergoda" oleh saiz yuran transaksi melibatkan dana AS$864.5 juta (RM4.09 bilion) dari SRC International.

Swampillai, seorang bekas kakitangan di cawangan tersebut, mengakui secara retrospektif bahawa transaksi-transaksi tersebut (yang melalui Bank BSI) adalah palsu dan dilakukan dengan cara untuk memberikan "ilusi optik" keabsahan kepada SRC dan pihak berkepentingan lain di Malaysia.

Transaksi palsu tersebut dilakukan atas arahan Jho Low, tambahnya.

Berkaitan dengan skandal 1MDB, Mahkamah Jenayah Persekutuan Swiss semalam mendapati bekas eksekutif Petrosaudi International Ltd, Tarek Obaid dan Patrick Mahony bersalah atas peranan mereka dalam menggelapkan dana 1MDB.