TVRI siar secara langsung ibadah Katolik dipimpin Paus Francis
GLOBAL | Seluruh rangkaian Televisyen Republik Indonesia (TVRI) akan menayangkan secara langsung ritual ibadah penganut Katolik yang dipimpin oleh Paus Francis di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok.
Portal berita Tempo.co melaporkan Paus Francis - yang kini dalam rangka perjalanan apostoliknya yang ke-45 - akan memimpin kira-kira 80,000 penganut Katolik dalam upacara selama dua jam bermula 5 petang waktu tempatan.
Menurut laporan itu lagi, arahan siaran langsung di stesen TVRI itu dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia, berdasarkan permintaan kementerian agama yang bertanggungjawab terhadap semua enam agama diakui oleh kerajaan.
Permintaan kementerian agama itu turut melibatkan arahan agar siaran langsung penganut Katolik berkenaan tidak dihentikan untuk memberi laluan kepada azan Maghrib.
"Kementerian Agama mencadangkan agar misa (massa) yang dipimpin oleh Paus Francis pada Sept 5, dari 5 petang hingga 7 petang disiarkan secara langsung dengan tidak terputus pada seluruh televisyen nasional," lapor Tempo yang memetik surat ditandatangani oleh Ketua Pengarah Bimbingan Masyarakat Katolik, Suparman, serta Ketua Pengarah Bimbingan Masyarakat Islam, Kamaruddin Amin.

Dalam arahan berkaitan, surat sama bertarikh 1 Sept itu turut menetapkan supaya slot azan Maghrib digantikan dengan pengumuman dalam bentuk teks di layar televisyen semasa siaran langsung.
Kementerian Agama Indonesia dilaporkan membuat keputusan tersebut setelah mempertimbangkan permintaan dari panitia Kunjungan ‘Bapa Suci’ Paus Francis yang meminta mereka menjadi perantara dengan pihak-pihak berkaitan.

Selain dari memimpin ibadah penganut Katolik, pemimpin kota Vatican itu turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Imam Besar Masjid Istiqlal, Nasaruddin Umar, serta tokoh-tokoh agama lain esok.
Paus Francis berada di Indonesia sehingga Jumaat sebelum berlepas ke Papua New Guinea, Timor Leste dan Singapura.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/09/71e2f180684cefd49dfbadea785629c5.jpg)
