Syed Husin: Kelemahan dalam pelan strategik pendidikan tinggi
Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, walaupun Pelan Strategik Pendidikan Tinggi nampaknya mengandungi beberapa langkah yang betul untuk memperbaiki tahap pencapaian universiti di negara ini, tetapi ia masih mempunyai kelemahan.
Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, walaupun Pelan Strategik Pendidikan Tinggi nampaknya mengandungi beberapa langkah yang betul untuk memperbaiki tahap pencapaian universiti di negara ini, tetapi ia masih mempunyai kelemahan.
Menurutnya, selama ini masyarakat akademik telah berjuang untuk memulihkan autonomi universiti yang telah disekat melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akujanji.
"Syarat pertama untuk mempunyai sebuah universiti yang independen dan berautonomi ialah dengan menghapuskan sekatan-sekatan tersebut ke atas masyarakat akademik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelan tersebut, katanya, berjanji untuk memberi beberapa autonomi kepada universiti awam dan swasta, tetapi nampaknya ianya hanya terhad kepada memberi kuasa kepada lembaga pengarah universiti untuk membuat perubahan, meningkatkan pencapaian universiti dan mendapatkan dana untuk menjalankan projek penyelidikan.
"Automoni universiti adalah lebih daripada itu. Autonomi pentadbiran adalah penting, tetapi autonomi akademik adalah lebih penting," tambahnya.
Malangnya, kata Syed Husin, perkara itu tidak disebut dalam pelan berkenaan dan sebaliknya, semakin banyak campurtangan kerajaan dan kementerian berkenaan dalam urusan akademik yang penting, seperti menetapkan tempoh pengajian dan silibusnya.
Contohnya, kata beliau, tempoh pengajian untuk ijazah pertama, telah dikurangkan dari empat kepada tiga tahun, dan kemudiannya balik semula kepada empat tahun.
Campurtangan di universiti
Menurutnya, proses untuk menentu dan memperkenalkan silibus untuk subjek Hubungan Kaum dikuasai hampir sepenuhnya oleh pihak kementerian dan kabinet, dengan hanya sedikit sahaja penyertaan para akademik.
Dengan penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi, katanya, maka semakin bertambahlah campurtangan dalam pentadbiran universiti, pensyarah dan pelajarnya.
Syed Husin berkata, jaminan terbaik bagi autonomi universiti - di segi pentadbiran dan akademik - ialah dengan mempunyai Piagam Universiti bersama dengan Suruhanjaya Gran Universiti (UGC), yang terbukti berjaya dilaksanakan di banyak negara.
Katanya, UCG beroperasi bebas daripada campurtangan kerajaan, walaupun ia menerima gran daripada kerajaan, untuk disalurkan kepada pelbagai universiti, di samping bebas mengumpul dana tambahan daripada sumber-sumber yang lain.
UCG, katanya, bersama dengan semua universiti dan masyarakat akademik, akan memastikan dan memelihara standard universiti dan kebebasan mereka daripada campurtangan atau pengaruh mana-mana kepentingan politik dan kewangan.
Mengenai penubuhan universiti apek, Syed Husin berkata, ia boleh dicapai berdasarkan kepada prestasi masing-masing, terutama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan, serta penemuan berguna oleh kakitangan akademiknya.
Katanya, contoh terbaik adalah Universiti Cambridge dan Oxford atau Harvard dan Yale, bukan kerana mereka dipilih oleh mana-mana jawatankuasa, tetapi kerana mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa, terutama dalam pencapaian akademik masing-masing.
Katanya, adalah satu ironi jika sebuah jawatankuasa kerajaan memutuskan untuk mengiktiraf universiti tertentu sebagai 'universiti apex' sedangkan masyarakat akademik antarabangsa mengiktiraf universiti lain sebagai yang paling cemerlang.
Kenaikan pangkat
Mengenai cadangan supaya naib canselor dipilih oleh pihak universiti sendiri, Syed Husin berkata, pada masa yang sama Perdana Menteri berkata pemilihan itu tidak hanya bergantung kepada kenaikan pangkat dari kalangan kakitangan univerisiti itu sendiri.
Sebaliknya, kata beliau, pihak universiti perlu mencari tokoh-tokoh dari luar kampus mereka.
Pada masa lalu, kata Syed Husin, terdapat banyak kes di mana naib canselor yang baru dipilih, walaupun mereka kekurangan kelayakan di segi akademik dan pentadbiran, hanya kerana kedudukan politik mereka.
Malah, tambah beliau, naib-naib canselor pula lebih berminat menjadi "mata-mata" untuk mengawal pelajar, atau untuk membodek kementerian supaya tempoh perkhidmatan mereka dilanjutkan.
Sebaliknya, beliau mencadangkan diwujudkan sebuah badan yang bebas dan berwibawa bagi mencari calon-calon terbaik untuk dilantik sebagai naib canselor.
Badan tersebut, katanya, hendaklah dianggotai oleh ahli-ahli akademik yang dihormati, graduan (alumni) dan anggota masyarakat.
Calon-calon dari semua kaum, katanya, perlu dipertimbangkan, dan jika sesuai, dilantik sebagai naib canselor.
Menurut Syed Husin lagi, kini sudah terdapat tiga naib canselor wanita, tetapi semuanya dari satu kaum Melayu sahaja.
Kelayakan akademik
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu pertiga daripada naib dan timbalan canselor terdiri daripada bukan Melayu yang mempunyai kelayakan akademik dan pentadbiran yang tinggi.
Katanya, ini kerana naib canselor yang dihormati oleh para penyarah dan pelajar kerana kelayakan dan kemampuan mereka, akan dapat menerajui universiti mencapai kejayaan yang tinggi.
Di samping itu, kata Syed Husin, kenaikan pangkat kepada jawatan kanan terutama jawatan profesor dan profesor madya, hendaklah berasaskan kepada kelayakan akademik, dan bukannya atas pengaruh atau campurtangan politik atau pentadbiaran.
Katanya, faktor-faktor yang harus dipertimbangkan ialah kerja yang berhemat dan kualiti pengajaran, kualiti penyelidikan serta kepentingan dan impaknya, dan kualiti bahan penerbitan, terutama mereka yang signifan dan selalu menjadi rujukan.
Profesor dan profesor madya, tambah beliau, mestilah juga cekap dalam menyelia calon-calon graduan lanjutan dan mengetui kerja-kerja penyelidikan.
Badan pemilihan, katanya, yang dipengerusikan oleh naib canselor, hendaklah dianggotai, antara lain, sekurang-kurangnya dua ahli akademik kanan yang dipilih oleh Senat atau semua profesor (jika mereka tidak dipilih oleh naib canselor menganggotai Senat).
Pada masa lalu, katanya, sesetengah universiti, dengan mengikut amalan banyak universiti yang terkemuka, melantik tiga pemeriksa luar, kadang-kadang dari tiga benua yang berbeza, untuk menilai kesesuaian pemohon untuk jawatan profesor.
Universiti cemerlang
Amalan ini, katanya, perlu menjadi ikutan kerana bukan mudah untuk memegang jawatan profesor kerana itu, ia mesti datang dengan imbuhan gaji yang sesuai, yang bukan hanya terhad kepada profesor asing.
Di samping kakitangan akademik yang baik, katanya, terdapat keperluan-keperluan lain untuk menjadi sebuah universiti cemerlang, satu daripadanya ialah kualiti pelajar yang tinggi, yang sepatutnya ditentukan di peringkat sekolah lagi.
Pada masa ini, kata Syed Husin, pembelajaran di peringkat sekolah tidak menggalakkan perkembangan minda yang bebas dan kritikal.
Malah, katanya, di peringkat universiti sendiri, pembinaan minda yang kritikal dan kreatif tidak digalak dan disemai.
Sebaliknya, tambah beliau, terdapat pelbagai jenis peraturan, terutama yang berkaitan dengan Auku, yang membantutkan minta pelajar.
Kesimpulannya, kata Syed Husin, adalah malang sekali kerana para pelajar, pensyarah dan orang awam, tidak dijemput untuk bersama-sama menyumbangkan pandangan sebelum Pelan Stragik Pendidikan Tinggi diumumkan oleh Perdana Menteri.
Katanya, keadaan itu menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa mahu membuat keputusan dari atas dan sekiranya pandangan awam diperolehi, sudah tentu kelemahan-kelemahan dapat diatas dan pelan tersebut dapat diterima.

