Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang meminta wakil-wakil agama memanfaatkan biro-biro bawah Jawatankuasa Harmoni dalam mencari penyelesaian kepada isu-isu berhubung keharmonian antara penganut agama.
Kementeriannya berkata, salah satu biro bawah jawatankuasa itu, biro pengurusan isu agama dan mediasi, bertujuan memastikan gerak kerja yang lebih efektif dalam melaksanakan inisiatif keharmonian antara agama.
"Dalam mesyuarat Jawatankuasa Harmoni yang dikendalikan bersama oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menubuhkan tiga biro (sub jawatankuasa).
"Salah satunya Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi yang memberi tumpuan dalam usaha merungkai isu dan konflik agama yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang berpotensi mengancam perpaduan dan kesejahteraan dan menjadikan mediasi sebagai kaedah penyelesaian alternatif.
"Ini bagi tujuan pendamaian atau menyelesaikan apa-apa pertikaian dan perselisihan dalam kalangan anggota masyarakat yang berbilang agama dan bangsa," kata kementerian dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Perpaduan turut memaklumkan jemaah menteri telah membincangkan perkara berkaitan kenyataan kumpulan antara agama bukan Islam, Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) berkaitan penempatan pegawai Jakim di jabatan kerajaan dan Kementerian.
Susulan itu katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu dengan MCCBCHST pada Jumaat ini.
Awal minggu ini MCCBCHST menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan.
Mereka membangkitkan kebimbangan berhubung laporan akhbar dari Sabah bahawa pegawai Jakim akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.
Bagaimanapun Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tiada sebarang penempatan baru melibatkan pegawai Jakim di jabatan-jabatan kerajaan.
Menurut jurucakap kerajaan itu, isu tersebut bahkan sudah dijelaskan oleh Jakim pada 7 Ogos lalu ekoran salah faham yang timbul daripada program audio siar (podcast) sebelumnya.
Jelasnya, keadaan kemudian semakin mengelirukan apabila MCCBCHST membuat kenyataan mengulas isu tersebut.
Sementara itu Kementerian Perpaduan berkata konsep faham, hormat, dan terima perlu dihayati rakyat Malaysia bagi merapatkan perbezaan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurutnya, konsep itu sebagai prinsip asas bukan sahaja bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, bahkan menangani isu-isu berkaitan keharmonian antara penganut agama, meningkatkan sifat hormat menghormati, dan mengukuhkan pemahaman.
"Kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sentiasa bersedia untuk menyediakan perkhidmatan Mediator Komuniti dalam mengurus isu-isu perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini," katanya.
Tambahnya, kementerian itu melantik 562 orang mediator komuniti sebagai pendamai masyarakat dalam membendung isu-isu perpaduan atau konflik sosial di peringkat komuniti.
"Walaupun wujud perbezaan daripada kepelbagaian yang menjadi cabaran dalam mengukuhkan perpaduan namun jika ia diuruskan dengan baik, kepelbagaian ini menjadi kekuatan negara dalam membentuk Malaysia Madani yang harmoni dan bersatu-padu," kata kementerian.