AGC belum buat keputusan permohonan Rosmah batal pertuduhan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pendengaran permohonan Rosmah Mansor untuk membatalkan pertuduhan ke atasnya, selepas pihak pembelaan dan Pejabat Peguam Negara (AGC) belum membuat keputusan berhubung representasi yang dibuatnya.
Representasi itu bagi membatalkan 12 pertudhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM7 juta, serta lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib memberitahu hakim K Muniandy bahawa seperti yang disebut dalam prosiding sebelum ini, representasi Rosmah kini di peringkat akhir.
Namun, katanya lagi, memandangkan kes itu melibatkan isu cukai pendapatan, mereka memerlukan lebih masa bagi memenuhi prosedur tertentu dengan LHDN bagi mencapai keputusan muktamad.
Justeru, Muniandy menetapkan 11 Oktober ini bagi pembelaan dan pendakwaan meneruskan hujah mereka.
Rosmah menyerahkan representasi pertamanya kepada AGC oada 12 Disember tahun lalu. Dia kemudian membuat dua lagi representasi, iaitu pada 3 Mei dan 3 Ogos lalu.
Pada 23 Ogos lalu, pihak pembelaan dan pendakwaan memberitahu mahkamah yang mereka telah “mencapai persetujuan” berhubung permohonan untuk menggugurkan pertuduhan.
“Oleh kerana kita sudah capai persetujuan, saya fikir ia telah selesai,” kata peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin kepada Muniandy.
“Saya sahkan yang representasi sedang ke arah kaputusan akhir dan kini ia adalah soal memuktamadkan dokumentasi untuk mahkamah,” kata Akram.
Rosmah, 72, dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sebelum ini, dia turut disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes rasuah yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuannya kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan bersalah serta hukuman penjara dan denda.
Rayuan kes solarnya ditetapkan untuk didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Okt.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/bc8c0f4b410e9271250774d80210dd61.jpg)
