Bekas pegawai saman PHB RM10 juta, dakwa gagal lindungi pemberi maklumat
Seorang bekas Ketua Unit Integriti dan Governans, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memfailkan saman terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu atas dakwaan melanggar polisi untuk melindungi pemberi maklumat.
Ibrahim A Hamid selaku plaintif memfailkan saman sebanyak RM10 juta terhadap syarikat berkenaan dan beberapa pengurusan tertingginya minggu lalu.
Ibrahim memfailkan saman itu atas dakwaan penipuan berniat jahat dan konspirasi untuk menganiaya plaintif yang memusnahkan kerjayanya sebagai ketua unit integriti dan governans PHB.
Dia menuntut pampasan atas dakwaan kegagalan defendan untuk memenuhi tugas fidusiari mereka.
"Tindakan saman ini juga menyentuh tentang kegagalan Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan PHB untuk melaksanakan fiduciary duty yang terkandung dalam polisi anti-rasuah, polisi whistleblowing dan kod tatakelakuan Pelaburan Hartanah Berhad," katanya dalam kenyataan media.
Plaintif berkata peguamnya dari firma guaman Khalek Awang & Associates memfailkan saman sivil itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat minggu lalu dan sedang dalam proses menyampaikan kertas kausa kepada defendan.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pegawai SPRM melawat pejabat PHB di Shah Alam, Selangor pada 5 Jun lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa.
Ketua Bahagian Operasi Khas SPRM, Azmi Kamaruzaman dilaporkan berkata mereka sedang menyemak malumat bahawa "seorang pegawai tinggi" di PHB didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk menikmati faedah melebihi daripada kelayakannya.
Pengarah kanan SPRM itu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai dakwaan salah laku berkenaan daripada seorang pemberi maklumat.
PHB ialah anak syarikat milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB). Ia ditadbir oleh lembaga pemegang amanah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut laman webnya, PHB telah ditubuhkan pada 2006 sebagai sebuah syarikat pelaburan hartanah "dimandatkan oleh kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia".
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/ef68337e6ec82c5b138e3cd2d874f934.jpg)
