Bekas timbalan menteri meninggal dunia
Bekas timbalan menteri komunikasi dan multimedia Eddin Syazlee Shith dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Chedang, Seremban, hari ini.
Menurut Bernama, kematian berkenaan disahkan oleh Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker.
Katanya, Eddin Syazlee, 50, meninggal dunia pada jam 7.10 pagi tadi.
Eddin Syazlee sebelum ini pernah dilantik mengetuai Bersatu Negeri Sembilan.
Namanya meningkat naik selepas memenangi kerusi parlimen Kuala Pilah dalam PRU ke-14 yang diadakan pada 2018. Ketika itu dia mengalahkan ahli politik veteran Umno-BN, Hassan Malek, dengan majoriti 200 undi.
Kemenangan itu menyaksikan kerajaan PH melantik dia sebagai timbalan menteri. Apabila kerajaan PH dijatuhkan dan diganti dengan pentadbiran baru, dia sekali lagi dipilih menjadi timbalan menteri di kementerian lain.
Bagaimanapun dalam PRU ke-15 Eddin Syazlee gagal mempertahankan kerusi Kuala Pilah apabila kecundang kepada Adnan Abu Hassan (BN) dengan majoriti 6,483 undi.
Eddin Syazlee turut dinamakan oleh PN bertanding bagi kerusi DUN Juasseh apabila Negeri Sembilan mengadakan pilihan raya negeri pada tahun lalu.
Dia sekali lagi kalah kepada calon BN, kali ini kepada Bibi Sharliza Mohd Khalid. Kedua-dua mereka dipisahkan oleh perbezaan undi yang tipis iaitu 78 undi.
Memetik Mohamad Hanifah, Bernama melaporkan kesihatan Eddin Syazlee merosot sejak lima bulan lalu dan dia menerima rawatan susulan di hospital swasta sebelum dibawa pulang semalam.
"Kami (ahli PN) berada di rumahnya sejak malam tadi bersama-sama keluarga. Pemergian allahyarham satu kehilangan besar untuk PN Negeri Sembilan.
“Takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Eddin Syazlee, semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya.
Mohamad Hanifah juga menganggap Eddin Syazlee seorang ahli politik berpengalaman dan banyak membimbing dia membentuk pasukan yang kuat.
Jenazah allahyarham akan dibawa ke Masjid Chedang untuk disolatkan dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Dr Nurul Azlin Ibrahim dan dua anak lelaki serta seorang perempuan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/09/fc9e2088802b2415784884dca4ab80ef.jpg)
