Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bahasa Melayu: Kuasa PBT lebih besar dari DBP, kata Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob mengulangi gesaannya agar Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 dipinda bagi memperkukuh serta memartabatkan bahasa Melayu.

Menurut bekas perdana menteri itu, pindaan berkenaan penting bagi membolehkan DBP berkuasa mengambil tindakan jika wujud sebarang pelanggaran dalam penggunaan bahasa Melayu.

Katanya semasa menjadi perdana menteri dulu dia pernah memberi komitmen untuk meminda akta berkenaan.

Namun kata Ahli Parlimen Bera itu lagi, sehingga hari ini masih tiada sebarang perkembangan baru walaupun akta tersebut sudah hampir 30 tahun tidak dikemas kini berdasarkan keperluan semasa.

"DBP perlu diberikan lebih banyak kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak berlaku pertindihan dengan pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Menurut Ismail Sabri, antara contoh pelanggaran bahasa Melayu yang perlu ditangani DBP termasuklah petempatan yang tidak menggunakan nama Malaysia sebaliknya berbau Perancis, Sepanyol atau bahasa lain.

Tanpa kuasa, katanya DBP tidak mampu berbuat apa-apa seperti menyaman sesebuah syarikat perumahan yang menggunakan bahasa lain untuk nama taman atau jalan.

Ismail Sabri berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Ke-3 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pada realitinya PBT mempunyai kuasa yang lebih besar berbanding DBP dalam soal penguatkuasaan bahasa.

"Kuasa majlis daerah nampaknya lebih besar daripada DBP dari segi menguatkuasakan undang-undang dari segi nama, sebab itulah saya berpandangan DBP patut beri kuasa yang lebih agar dapat mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang melanggar Akta DBP ini.

"Tapi setakat ini saya tak dengar cerita (perkembangan meminda akta tersebut).

"Harap DBP cepat. Kalau tidak kita tak boleh nak bua apa-apa walaupun nama jalan, taman (perumaahan) guna bahasa lain," katanya lagi.

Selain itu, Ismail Sabri turut menyeru kerajaan memperkasa bahasa Melayu melalui urusan-urusan rasmi kerajaan terutama ketika mengadakan lawatan kerja ke luar negara.

Tambahnya, langkah itu pernah dilaksanakannya ketika dia berada di Putrajaya dulu.

"Hal ini sudah saya laksanakan dahulu dan saya tidak teragak-agak untuk bercakap dalam bahasa Melayu kerana ini adalah bahasa ibunda kita," tambahnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS