Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rujuk ramalan cuaca sebelum bercuti di Pahang
Diterbitkan:  Sep 28, 2024 8:33 AM
Dikemaskini: 12:33 AM

Orang ramai yang ingin berkunjung ke Pahang dinasihatkan merujuk kepada maklumat ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) terlebih dahulu, susulan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata masyarakat juga diminta mematuhi notis yang dikeluarkan dari semasa ke semasa, antaranya oleh jabatan perhutanan yang menyelia beberapa tempat rekreasi tumpuan pelancong.

“Ada sesetengah tempat pelancongan tidak sesuai untuk pengunjung dan kerajaan negeri berharap mereka boleh merujuk notis daripada agensi berkaitan, sebab di Pahang kekuatan pelancongan kita ialah ekopelancongan.

“Apabila cuaca sebegini, lokasi pendakian dan air terjun sudah tentu berisiko, jadi pengunjung tempatan dan pelancong luar diminta patuhi arahan diberikan pihak berkenaan,” katanya selepas merasmikan Festival Moh Ngopi 2.0 di Kuantan semalam.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata fasa peralihan monsun dijangka bermula 24 Sept dan berterusan sehingga awal Nov.

Dia berkata permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 17 Mei dan negara diramal akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

Mengulas mengenai Festival Moh Ngopi yang berlangsung bermula semalam sehingga esok, Leong berkata ia antara lain menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat, selain dapat menjadikan Pahang sebagai hub pencinta kopi di Malaysia.

“Kerajaan negeri menerusi Tourism Pahang terus komited dan konsisten menganjurkan acara sebegini dalam usaha memastikan industri pelancongan khususnya pelancongan gastronomi di negeri ini berkembang maju,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai isu daftar masuk hotel pada jam 4 petang berlaku di negeri itu.

“Kami berpandangan isu yang dibangkitkan ini terpencil dan di Pahang masih terkawal dan kami sentiasa berhubung rapat dengan persatuan hotel yang memaklumkan isu itu bukan berlaku di Pahang,” katanya.

Baru-baru ini tular isu berhubung tindakan segelintir pihak hotel menetapkan waktu daftar masuk bermula pada 4 petang dan daftar keluar seawal 11 pagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS