Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu Jabatan Peguam Negara membuka semula siasatan terhadap dakwaan seorang wanita Indonesia yang dia dirogol oleh seorang anggota Rela.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam berkata, satu permohonan rasmi akan dihantar kepada Peguam Negara supaya menimbang semula keputusan untuk menggugurkan dakwaan terhadap anggota Rela yang didakwa terbabit.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Suhakam semalam, ekoran terdapat bukti-bukti baru berhubung kes itu, antaranya, terdapat saksi yang melihat kejadian tersebut dan mangsa sendiri telah tampil ke hadapan.

Mangsa yang berusia 20 tahun itu, Suriayani Nas, seorang pendatang tanpa izin, kini sedang mengandung lima bulan.

"Ekoran bukti-bukti tambahan tersebut, kita akan meminta Peguam Negara menyemak semula keputusan untuk menggugurkan dakwaan," kata Siva ketika dihubungi.

"Antara langkah selanjutnya ialah mengadakan ujian DNA (bagi menentukan bapa bayi tersebut)," tambahnya.

Siva menemui Suriyani Jumaat lalu apabila beliau mengunjungi rumah penginapan perlindungan di Kedutaan Indonesia.

Suriyani, yang berasal dari Lombok, dekat Bali, mendakwa, selepas bekerja selama dua tahun tanpa dibayar gaji oleh majikannya di Johor Baru, dia bertemu dengan seorang anggota Rela yang menawarkan kerja untuknya di Kajang.

Bagaimanapun, Suriyani mendakwa, dia menjadi mangsa seksual anggota REla tersebut. Penderitaannya berakhir selepas seorang lagi anggota Rela, yang mendapat tahu mengenainya, telah menyelamatkan Suriyani dan membawanya ke sebuah balai polis.

Tindakan disiplin

Bercakap kepada pemberita dan para pegawai Suhakam, Suriyani telah memberi nama anggota Rela terbabit.

Hadir sama ialah Konsular di kedutaan Indonesia, Tatang Razak, yang melahirkan kekecewaannya kerana aduan yang dibuat kepada kerajaan Malaysia menerima jawapan tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Katanya, pihak kedutaan diberitahu bahawa Suriyani mesti dihantar pulang ke Indonesia kerana dia pendatang haram, dan hanya 'tindakan disiplin' akan diambil terhadap anggota Rela terbabit.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, anggota berkenaan telah disingkirkan dari Rela.

"Tindakan diambil terhadapnya walaupun tidak cukup bukti. Tindakan mengikut budibicara ketua pengarah itu diperuntukkan dalam undang-undang tubuh Rela," katanya ketika dihubungi.

"Kita mahu semua anggota Rela bersih dari sebarang tuduhan," tambahnya.

Zaidon juga berkata, memandangkan anggota tersebut telah disingkirkan dari Rela, maka pihaknya tidak boleh lagi membuat sebarang komen mengenainya.

"Biarlah pihak berkuasa menyiasat kes tersebut jika ada bukti-bukti baru," tambahnya.

Walaupun pihak berkuasa tempatan menafikan kes penderaan orang asing semakin meningkat, tetapi Kedutaan Indonesia mendakwa lebih 1,000 kes pekerja Indonesia yang didera atau tidak dibayar gaji, mendapat perlindungan di tempatnya setiap tahun.

Hubungan antara Malaysia dan Indonesia menjadi tegang selepas berlakunya beberapa kejadian termasuk kejadian seorang pengadil karate dari Indonesia dibelasah oleh anggota polis Malaysia. Berita asal