Undang-undang tahanan rumah tak ada kaitan Najib - Fahmi
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan cadangan mewujudkan rang undang-undang baru bagi membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif untuk kesalahan tertentu dibuat bagi membolehkan mana-mana individu khususnya golongan ternama (VIP) dibebaskan dari penjara.
Sebaliknya, jurucakap kerajaan itu berkata, niat utamanya adalah untuk menukar konsep ‘punitive justice’ (keadilan menghukum) yang diamalkan sebelum ini kepada ‘restorative justice’ atau keadilan pemulihan kepada banduan.
“Tidak betul. Ia tidak ada kaitan kepada mana-mana individu tapi bila kita lihat ekosistem itu secara keseluruhan, kita perlu beranjak sesuai dengan zaman.
“Banyak negara mengamalkan konsep restorative justice dan kita pun ke arah itu. Dapatan awal, seperti saya sebutkan tadi, banduan-banduan ini lebih boleh diterima masyarakat.
“Bila mereka habiskan sisa penahanan mereka dalam komuniti. Itu akan dapat membantu mengurangkan kos, beban dan tekanan kepada sistem sosial dalam negara kita bila kita dapat kawal kadar residivisme (melakukan jenayah berulang kali selepas bebas),” katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Fahmi berkata demikian mengulas soalan sama ada cadangan undang-undang itu dibuat bagi membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak dari penjara.
Cadangan itu dinyatakan pertama kali dalam teks rasmi ucapan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun bahagian tersebut tidak dibacakan ketika Anwar membentangkan belanjawan pada hari Jumaat.
Pesalah dicadangkan akan dikurung di lokasi yang sesuai - seperti kediaman, rumah penjagaan, atau asrama pekerja - di bawah syarat-syarat tertentu yang diawasi oleh Jabatan Penjara.
Sejak itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata terdapat kira-kira 20,000 banduan yang mungkin layak untuk tahanan rumah, iaitu pesalah kali pertama yang tidak melakukan jenayah berat, wanita hamil, warga emas dan orang kurang upaya.
Selain itu, Fahmi berkata RUU tahanan rumah juga disasarkan untuk membantu mengurangkan kesesakan di dalam penjara yang kini didiami lebih 82,000 banduan, melebihi kapasiti iaitu seramai 74,000 banduan.
Tambahnya, mereka yang bakal terlibat dalam RUU baru itu adalah banduan yang kesnya tidak terlalu berat dan hukumannya tidak lebih daripada sejumlah tahun yang akan diputuskan kelak.
Jelasnya, objektifnya juga adalah untuk mengurangkan kebarangkalian pesalah kembali ke penjara setelah dibebaskan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata projek rintis telah diadakan tahun lalu melibatkan 5,000 banduan yang terdiri daripada pesalah jenayah ringan menjalani proses rehabilitasi dalam komuniti dengan beberapa syarat ditetapkan.
"Berdasarkan kajian setelah projek rintis dilaksanakan menunjukkan kadar residivisme (kembali melakukan kesalahan) telah turun kepada 15 peratus," katanya.
Melaluinya, Fahmi berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan Jabatan Penjara berhasil menjimatkan RM19 juta melalui usaha tersebut.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/09/312d8940e4a71f4f59aab86584aeea6b.jpg)
