Najib nafi arahkan Husni supaya tidak campur tangan dalam 1MDB
BICARA 1MDB l Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan bahawa dia pernah mengarahkan bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah supaya tidak campur tangan atau mengganggu urusan 1MDB.
Bekas menteri kewangan itu berkata demikian ketika menyangkal keterangan saksi pendakwaan, hari ini.
“Dakwaan Husni bahawa saya mengarahkannya untuk tidak terlibat atau campur tangan dalam 1MDB adalah tidak benar sama sekali.
“Saya tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian kepada Husni,” kata Najib semasa perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion yang melibatkan dana 1MDB hari ini.
Bekas perdana menteri itu berhujah bahawa keterangan Husni tidak disokong oleh bukti dokumentasi dan dengan mudah mengabaikan dakwaan penglibatan aktif serta ketiadaan bantahannya semasa mesyuarat kabinet mengenai 1MDB.
“Kenyataan Husni dan tuduhan terhadap saya sangat mengecewakan. Husni adalah individu yang saya pilih sendiri untuk memegang jawatan menteri kewangan II pada April 2009, satu peranan yang membawa tanggungjawab dan kepercayaan besar.
“Semasa saya menjadi presiden Umno, saya juga melantiknya sebagai bendahari Umno, satu kedudukan yang mencerminkan keyakinan saya terhadap kebolehan dan integritinya.
“Keputusan ini tidak dibuat dengan mudah, tetapi berdasarkan keyakinan bahawa beliau akan berkhidmat kepada negara dan parti dengan setia dan berintegriti.
“Mendengar tuduhan sedemikian daripada seseorang yang saya percayai untuk memegang peranan penting ini amat menyakitkan. Sukar untuk saya terima kenyataan ini daripada seorang yang saya pernah percayai sepenuhnya,” kata Najib kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, dalam perbicaraan 1MDB hari ini.
Semasa pemeriksaan balas, Najib turut mendakwa bahawa Husni menunjukkan rasa tidak puas hati apabila dia dipindahkan ke kementerian lain semasa dirinya menjadi perdana menteri.
Menurut Najib, pertukaran portfolio menteri adalah perkara biasa bagi memberi pengalaman memegang pelbagai portfolio. Namun, Husni tidak gembira dengan keputusan untuk memindahkannya ke portfolio ekonomi atau perumahan dan kerajaan tempatan, sehingga menyaksikan dia menyerahkan surat perletakan jawatan.
Najib juga menyebut bahawa rasa tidak puas hati Husni mungkin berkaitan dengan kegagalan anak Husni untuk mendapatkan projek tertentu, yang dipercayai berkaitan pembinaan.
“Apabila berada di kedudukan tertinggi, kita sering dipersalahkan untuk segala-galanya. Kadangkala sistem tidak membenarkan kita memenuhi semua permintaan,” kata Najib.
Pada 30 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.
Hakim Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie berdasarkan keterangan 50 saksi sepanjang perbicaraan sejak 2019.
Pendakwaan mendakwa bahawa salah laku di 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) dengan restu Najib. Namun, Najib menafikan sebarang penglibatan atau pengetahuan, mendakwa bahawa penggelapan dana itu dirancang sepenuhnya oleh Low dan ahli pengurusan 1MDB.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International, anak syarikat 1MDB. Dia juga berdepan perbicaraan jenayah lain melibatkan RM27 juta dalam kes pengubahan wang SRC.
Dia sebelum ini dilepaskan dalam kes jenayah audit 1MDB dan pada 27 November, dengan diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes pecah amanah jenayah melibatkan RM6.6 bilion dengan International Petroleum Investment Company (IPIC).
/file/1173/7f9038dc441edd464671cbdf197cf391.jpeg)
