Pindaan yang dicadangkan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) merupakan percubaan melalui pintu belakang untuk memperkenalkan undang-undang ‘berita palsu’, menurut Lawyers for Liberty (LFL).

Merujuk kepada pindaan terhadap Seksyen 233(1)(a) dalam CMA, Pengarah LFL Zaid Malek berkata cukup mengejutkan apabila kerajaan tidak menunaikan janji mereka untuk memansuhkan klausa tersebut.

“Sebaliknya, mereka memilih untuk memperkukuhkan dan menguatkannya, menjadikan undang-undang zalim ini lebih tegas.

“Ini pengkhianatan sepenuhnya oleh Pakatan Harapan terhadap janji lama mereka kepada rakyat untuk memansuhkan Seksyen 233.

“PH memegang jawatan paling berkuasa – perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri komunikasi.

"Mereka tidak boleh mengelak tanggungjawab,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pindaan sasarkan pelbagai Isu

Pindaan terhadap akta ini, yang dibentangkan untuk bacaan pertama pada Isnin, merangkumi pelbagai isu seperti ucapan kebencian, penipuan dan mesej yang tidak diminta.

Ia juga termasuk peruntukan baru yang membolehkan agensi penguatkuasaan memaksa pihak tertentu menyimpan dan mendedahkan data komunikasi.

Pindaan tersebut serta penjelasan baru di dalamnya kelihatan memperhalusi seksyen tersebut dan menjadikannya lebih terfokus.

Sebagai contoh, Seksyen 233(1)(a) dipinda supaya komunikasi yang dianggap tidak wajar hanya merujuk kepada yang “sangat menyinggung perasaan” dan bukan sekadar “menyinggung perasaan.”

Skop kesalahan diluaskan

Zaid turut menyentuh tentang penambahan perkataan seperti “kekeliruan” dan “tidak lengkap” dalam mentakrifkan kepalsuan dalam pindaan yang dicadangkan, yang menurutnya memperluaskan skop kesalahan.

Dia berhujah peruntukan ini akan menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat dan menyebabkan mereka tidak berani menyertai perbincangan mengenai isu-isu kepentingan awam.

“Ia akan memberi kesan dingin terhadap kebebasan bersuara. Ini bermakna tuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau kritikan umum terhadap kerajaan tidak boleh berlaku kecuali rakyat mempunyai fakta lengkap dan menyeluruh mengenai setiap aspek sesuatu isu atau tuduhan.

“Jika tidak, mereka boleh ditangkap dan didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) CMA,” katanya.

Taktik lama

Zaid mengkritik kerajaan berkata mengejutkan PH yang dahulunya menjadi mangsa pentadbiran BN, kini bukan sahaja mengguna pakai taktik yang sama, tetapi memperhebatkannya melalui pindaan yang dicadangkan.

“Kami mengingatkan kerajaan tentang tanggungjawab mereka untuk menegakkan kebebasan bersuara, hak yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebuah kerajaan yang kononnya komited kepada ketelusan dan pembaharuan seharusnya menjadikan hak ini keutamaan, kerana ia asas demokrasi yang berfungsi dan memberi kuasa kepada rakyat untuk memantau kerajaan tanpa rasa takut akan pembalasan.

“Kami mendesak kerajaan Madani agar menarik balik pindaan yang dicadangkan serta rancangan untuk mengekalkan dan memperkukuh Seksyen 233(1)(a) CMA.

"Sebaliknya, kerajaan mesti segera memperkenalkan rang undang-undang untuk memansuhkan Seksyen 233(1) sepenuhnya,” tambahnya.