Hajiji Noor wajar berundur jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya ada merit dalam dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah itu atau anggota kerajaannya.
Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh berkata langkah tersebut perlu bagi memastikan siasatan yang adil dan bebas dibuat ke atas dakwaan tersebut, selain dan mengukuhkan lagi komitmen kerajaan negeri terhadap akauntabiliti dan ketelusan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Akmal bagaimanapun berkata, SPRM mesti terlebih dahulu menjelaskan status siasatan mereka berhubung video yang didedahkan oleh pembocor maklumat sebelum ini.
“Ketika ini, isu tersebut nampaknya diselubungi kekeliruan tetapi video itu dah menjadi tular.
“Sebelum ini, SPRM mendedahkan mereka sudah merekodkan kenyataan beberapa Adun apabila pemberi maklumat mendedahkan sebahagian daripada rakaman itu.
"Tetapi adakah SPRM menyiasat Adun, pemberi maklumat atau kedua-duanya?
“Semalam, tujuh video telah dikeluarkan. Jadi adakah terdapat merit kepada dakwaan itu?
“Jika ada merit, Hajiji patut berundur sebagai ketua menteri serta pengerusi Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM),” katanya.

Akmal yang juga exco Melaka menegaskan rakaman itu juga mengandungi "elemen yang mengganggu" dan perlukan siasatan lanjut.
Untuk rekod gesaan supaya Hajiji berundur ekoran terbongkarnya video-video didakwa sebagai bukti berlaku amalan rasuah di Sabah mula diutarakan beberapa hari ini.
Terdahulu Pemuda Umno Sabah sendiri mengeluarkan kenyataan mendesak agar Hajiji meletakkan jawatan agar siasatan boleh dijalankan secara bebas dan telus.
Kata Pemuda Umno Sabah lagi, hasil siasatan itu juga perlu didedahkan kepada rakyat kerana mereka berhak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di Sabah.
Anggap di tahap kritikal
Menurut Akmal dia juga berasa hairan apabila Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, memberitahu dia "secara sukarela" memberikan keterangan kepada SPRM malam tadi selepas imejnya dipaparkan dalam salah satu video tersebut.
“Ini pun pelik. Adakah dia dipanggil? Apakah ada niat untuk memanggil Adun yang terlibat untuk disoal siasat?
“Siang tadi, seorang lagi Adun (Masuing Banah) yang terbabit berkata dia telah memberikan kenyataan kepada SPRM. Adakah dia dipanggil atau ini secara sukarela juga?
"SPRM mesti jelaskan keadaan kerana ada persoalan timbul," tambahnya.
Petang tadi Parti Warisan Sabah meminta SPRM menahan remah individu yang terkait dengan skandal tersebut bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, berkata kadangkala kebenaran boleh muncul selepas seseorang itu ditahan reman.
"Proses siasatan berkemungkinan akan mendedahkan kesalahan mereka, jika ada," katanya.
Dia juga beranggapan. tidak seperti negeri lain di Malaysia, isu rasuah di Sabah sudah mencapai tahap kritikal.
Ketika skandal itu mula-mula meletus, Hajiji berkata tiada apa-apa yang ingin disembunyikannya dan mendakwa video yang didedahkan itu bertujuan untuk melemahkan kerajaan negeri.
Sementara itu Umno Sabah dan Warisan menafikan mereka ada sebarang kaitan dengan pemberi maklumat, yang mendakwa dia bertindak kerana kecewa.