Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
5 petugas hospital kerajaan didakwa rasuah
Diterbitkan:  Dec 5, 2024 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Lima petugas sebuah hospital kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 21 pertuduhan menerima rasuah antara RM600 dan RM2,250 berkaitan perkhidmatan pengurusan mayat dari 2021 hingga 2023.

Penolong pegawai perubatan N S Sharvinder Singh, 40; dan pembantu perawatan kesihatan S Vickneswari, 55; P Veeramaly, 50; Mohd Nor Ali, 36, dan Wan Mohd Fazlan Shah Shasim, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan kelima-lima tertuduh sebagai pegawai badan awam menerima suapan berjumlah RM600 hingga RM2,250 menerusi transaksi dalam talian ke dalam akaun bank milik mereka daripada dua pemilik perniagaan perkhidmatan pengurusan mayat.

Ia adalah sebagai upah kerana memberikan maklumat mengenai kematian dan waris si mati dari hospital berkenaan.

Mereka yang bertugas di jabatan forensik hospital didakwa melakukan perbuatan itu antara 5 Jun 2021 hingga 9 Feb 2023 di beberapa cawangan bank di Seremban, Kuala Pilah dan Mantin.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya SPRM Fatin Nur Athirah Zainudin, manakala peguam G Visanathan mewakili Sharvinder Singh; Paul Krishnaraja mewakili Vickneswari dan Veeramaly; dan Hanif Hassan mewakili Mohd Nor serta Wan Mohd Fazlan Shah.

Terdahulu Fathin Nur Athirah memohon mahkamah menawarkan jaminan antara RM8,000 hingga RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM Negeri Sembilan sekali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Semua peguam kemudian meminta jaminan rendah dikenakan terhadap anak guam mereka berikutan masing-masing merupakan kakitangan kerajaan gred U32, U14 dan U11 dengan gaji rendah dan menanggung keluarga selain mengambil kira jumlah suapan terbabit yang sedikit.

Meor Sulaiman kemudian membenarkan Sharvinder Singh diikat jamin RM10,000, Vickneswari (RM6,000), Veeramaly (RM4,000), Mohd Nor (RM5,000) dan Wan Mohd Fazlan Shah (RM3,000) dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di SPRM negeri pada Sabtu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 9 Jan 2025.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS