Umno Sabah berpandangan DUN Sabah wajar dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam masa terdekat.

Ketua Penerangannya, Suhaimi Nasir berkata ini berdasarkan situasi dihadapi kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berdepan dakwaan skandal rasuah.

"Dengan mengambil kira situasi semasa yang mana kerajaan di bawah pimpinan GRS tidak lagi dilihat memperjuangkan rakyat, sebaliknya atas kepentingan peribadi, adalah wajar sekiranya PRN dilaksanakan dengan kadar segera.

"Ini supaya rakyat dapat memilih satu kerajaan yang baharu untuk memastikan nasib rakyat Sabah dapat dibela," katanya dilapor Berita Harian.

Suhaimi ditanya mengenai persiapan Umno dan BN Sabah menghadapi PRN17 selain masa paling sesuai ia diadakan berikutan situasi dihadapi kerajaan Sabah ketika ini yang berdepan dakwaan rasuah.

Kerajaan negeri pimpinan GRS mmepunyai mandat sehingga Oktober 2025.

Selain GRS, kerajaan negeri turut terdiri daripada PH, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan PN. Warisan dan Umno Sabah merupakan pembangkang di negeri itu.

Sebelum ini seorang pemberi maklumat mendedahkan beberapa siri video membabitkan ADUN GRS yang dikatakan membincangkan rasuah bagi meluluskan lesen cari gali sumber mineral sebagai balasan menyokong mereka.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management (SMM), Jontih Enggihon mendakwa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyalahgunakan kuasanya sebagai pengerusi SMM.

Hajiji bagaimanapun mendakwa video tersebut telah disunting dan menyifatkan dakwaan rasuah itu sebagai usaha untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri dan mencemarkan nama baiknya.