Bekas ahli Parlimen, Wee Choo Keong merancang untuk mencabar keputusan mahkamah pilihanraya pada 1995 yang mengakibatkan beliau kehilangan kerusi Bukit Bintang yang dimenanginya.

Beliau merancang berbuat demikian ekoran pendedahan klip video yang menunjukkan peguam kanan Datuk VK Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Ketika ditemui dalam satu majlis forum mengenai badan kehakiman di Kuala Lumpur Sabtu lalu, Wee berkata beliau bercadang untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan kes petisyen pilihanraya bagi kerusi Parlimen Bukit Bintang 12 tahun yang lalu.

"Kita tahu ada yang tidak kena tetapi tidak ada bukti. Tetapi ia telah disahkan sekarang (dengan pendedahan klip video tersebut)," kata beliau yang juga seorang peguam.

Ditanya sama ada tindakan yang hendak diambilnya itu, selepas lebih satu dekad berlalu, akan dianggap sebagai akademik semata-mata, Wee menjawab: "Bila anda menfail tindakan seumpama itu, ianya bukan kerana anda tahu akan menang, tetapi untuk mendedahkan ketidakadilan dan menarik perhatian rakyat dan mahkamah."

Keputusan kontroversi

Nama Wee turut disebut dalam klip video Lingam itu, yang dikatakan dirakam pada tahun 2002. Ahmad Fairuz merupakan Hakim Besar Malaya ketika itu.

Ahmad Fairuz, yang mendengar sebagai hakim mahkamah pilihanraya selepas pilihanraya umum 1995, membenarkan petisyen pilihanraya yang mencabar kemenangan Wee bagi kerusi Parlimen Bukit Bintang atas tiket DAP.

Ahmad Fairuz memutuskan supaya lawan Wee dari Barisan Nasional (BN), Dr Lee Chong Meng, diisytiharkan sebagai pemenang.

Keputusan mahkamah pilihanraya ketika itu adalah muktamad dan tidak boleh dibuat rayuan. Bagaimanapun, pindaan terhadap undang-undang pilihanraya kemudiannya, memboleh seseorang calon itu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Sementara itu, Wee, yang telah meninggalkan DAP dan menyertai Parti Demokratik Malaysia (MDP), juga enggan untuk mengesahkan sama ada beliau akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang. Berita asal

"Ia masih terlalu awal," jawabnya