Jawab, mengapa bukan Melayu tidak suka MCA - Puad Zarkashi
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, hari ini tampil mempertahankan ketua pemuda parti itu, Dr Akmal Saleh, daripada dakwaan rasis.
Menerusi satu hantaran di Facebook, katanya, dakwaan yang dilemparkan oleh Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng adalah tidak berasas.

“Apa bukti orang bukan Melayu tidak suka Akmal?
“Tan sebaliknya lebih wajar bertanya kenapa bukan Melayu tidak menyukai MCA?” katanya sambil menambah MCA seharusnya menilai semula sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap parti itu sendiri.
Semalam, Tan menerusi satu kenyataan menuduh Dr Akmal sebagai rasis, dan kerap mencetuskan kontroversi dalam kalangan ahli politik dan masyarakat.
Naib presiden MCA itu juga mencadangkan kepada Akmal supaya merenung kenapa orang bukan Melayu berpandangan negatif terhadapnya.

Namun, menurut Puad, ketua Pemuda Umno itu hanya bertindak terhadap pihak yang tidak sensitif terhadap agama Islam dan budaya Melayu.
Katanya, langkah-langkah seperti gesaan boikot dan laporan polis yang dibuatnya adalah mengikut undang-undang dan bertujuan mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu-Islam.
“Bukan dia yang memulakan kontroversi itu. Dia bertindak atas kecuaian orang lain yang tidak sensitif.
“Tindakannya sama ada boikot atau laporan polis tidak melanggar undang undang. Akmal bukan rasis,” kata Puad.

Sebaliknya, pemimpin Umno Johor itu berkata, melemparkan tuduhan bahawa Akmal "gila" atau "tidak berakal" dianggap lebih rasis dan bersifat serangan peribadi.
“Ia tindakan baling batu sembunyi tangan. Boleh ditafsir cuba memihak kepada mereka yang sebenarnya memulakan kontroversi.
“MCA jangan dilihat memihak kepada individu atau pihak yang memulakan kontroversi agama atau kaum.
“MCA pun tahu jadi rasis belum menjamin bukan Melayu kembali sokong MCA. Ada sebab lain. Cari sebab sebab itu. Tepuk dada tanya selera,” katanya lagi.

Perbalahan terbaru Akmal dengan MCA berlaku selepas catatan Facebook yang ditulis dalam bahasa Cina oleh Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor Law Yiak Kwang, yang mengkritik Akmal dalam bahasa Cina.
Salah satu catatan itu diterjemahkan sebagai merujuk kepada Akmal sebagai "Melayu gila".
Law, bagaimanapun, menjelaskan bahawa "癫马" adalah frasa biasa di media sosial yang bermaksud - "Akmal yang sentiasa bertindak tidak rasional".
Tan kemudian tampil membidas Akmal dan berkata dia mendapat julukan itu kerana dia sentiasa menyakiti perasaan orang bukan Melayu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/09/c2d67c5ec1b528508a4d36ef0730f168.jpg)
