Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan KJ tapi Zaid yang perlu mohon masuk PAS, kata Takiyuddin
Diterbitkan:  Feb 3, 2025 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

PAS berpendapat individu yang sepatutnya lebih dulu menyertai parti itu ialah Zaid Ibrahim, dan bukannya bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, seperti disarankan bekas menteri terbabit dua hari lalu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pada pandangannya Zaid - yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Kota Bharu - lebih sesuai menyertai parti tersebut.

Bahkan, kata Takiyuddin, sebelum ini bangunan empat tingkat milik Zaid di Kota Bharu, Kelantan sudah 'menyertai PAS' apabila dibeli parti berkenaan kira-kira 15 tahun lalu.

“Kita pelawa dia (Zaid) masuk PAS. Kenapa dia pelawa KJ (Khairy) pula dia kena masuk PAS?” katanya seperti dipetik portal berita rasmi parti itu, Harakahdaily, di Kota Bharu.

Bagaimanapun pada masa sama Takiyuddin menjelaskan di sebalik pintu yang dibuka PAS untuk Zaid, tidak ada jaminan permohonan tersebut diterima.

“Zaid tidak mahu masuk PAS, bangunan dia - bangunan Umno Kelantan - PAS beli, sepatutnya dia kena masuk PAS.

"Saya persilakan Zaid untuk masuk PAS, lulus atau tidak kita tak tahu lagi," katanya.

Pada 1 Feb lalu dalam program audio siarnya, Zaid Ibrahim Podcast, ahli politik berprofil tinggi itu menyarankan Khairy menyertai PAS jika berhajat untuk kembali aktif dalam siasah.

Pandangan itu diberikan Zaid - yang dikenali lantang mengkritik pelbagai dasar konservatif termasuk diperjuangkan PAS - kerana menganggap Umno sudah tidak memiliki masa depan.

Pilihan lain yang ada buat Khairy jika ingin cuba masuk ke Dewan Rakyat semula, kata Zaid, ialah menubuhkan parti sendiri atau bertanding atas tiket bebas.

Zaid juga menyatakan keyakinannya bahawa Khairy boleh menarik sokongan ramai termasuk pengundi PAS dan ia akan membantu langkah bekas menteri kesihatan itu menjadi perdana menteri.

Pada 2017 Zaid dipetik sebagai berkata, Kelantan perlu diselamatkan daripada kerajaan PAS yang dianggapnya membantutkan kemajuan dan potensi masing-masing.

"Inilah sebabnya, pada pilihan raya kali ini (menjelang PRU 2018) saya akan menghabiskan banyak masa di negeri saya sendiri.

“Saya akan cuba memberitahu pengundi seberapa banyak yang saya dapat bahawa pentadbiran PAS mesti berakhir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS