Seorang pemimpin kanan Umno menasihatkan agar MCA bertenang serta tidak dibayangi ketakutan oleh bayang-bayang sendiri sehingga mendakwa ada parti mahu menyingkirkan mereka dari BN.
Mohd Puad Zarkashi berkata Umno sebagai salah satu parti komponen dalam BN sama sekali tidak akan memperlakukan MCA sebegitu.
Jelas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu lagi, tiada alasan untuk mereka berbuat demikian, dan mustahil untuk parti tersebut "dicucuk hidung" oleh pihak tertentu untuk mengetepikan MCA.
"Jika kalau ada pihak luar khususnya DAP mahu Umno singkir MCA atau MIC, ia tidak akan berlaku. Mustahil Umno boleh dicucuk hidung. DAP pun tidak akan berani.
"Lagi pun mesti ada konsensus daripada semua parti komponen," katanya.
Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor menegaskan, sebarang keputusan sama ada untuk menerima atau mengetepikan mana-mana parti dalam BN mestilah dipersetujui oleh semua.
Dia juga menasihatkan agar MCA bertahan dan yakin parti itu akan berjaya melalui fasa yang tidak memberangsangkan - sama seperti pernah dialami Umno.
"Justeru MCA jangan takut bayang bayang sendiri. Semua parti ada turun naik macam Umno. Mesti ada jalan keluar. Tidak perlu menuding jari," tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terbukti setia, mudah ajak berunding
Semalam, Presiden MCA Wee Ka Siong mendakwa bahawa ada "orang luar" tertentu telah mencadangkan agar Umno menyingkirkan MCA daripada BN.
Justeru, bekas menteri pengangkutan itu berkata, MCA sedang "menunggu" keputusan daripada Umno berhubung dakwaan berkenaan.
Tanpa memetik nama, Wee menegaskan bahawa sesetengah orang yang tidak pernah menjadi sebahagian daripada BN kini menikmati hubungan rapat dengan Umno.
Ironinya, kata Wee lagi, mereka adalah pihak yang sama sebelum ini menuduh MCA mengkhianati masyarakat Cina kerana hubungan parti tersebut dengan Umno.
"Pada masa itu, MCA dipersalahkan kerana kamu (Umno). Kami dilabel sebagai pengkhianat kepada orang Cina, dituduh terlalu rapat dengan kamu - dan tuduhan ini datang daripada mereka (orang luar).
“Sekarang mereka ini menasihatkan anda untuk menyingkirkan MCA, kami tunggu,” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
Mohd Puad berkata sebenarnya Umno lebih suka keanggotaan parti dalam BN bertambah, bukannya berkurangan.
Namun, katanya lagi, disebabkan menghormati aspek konsensus daripada semua ada parti tertentu yang tidak diterima menjadi komponen.
Oleh kerana itulah, kata Mohd Puad, wujud parti yang dianggap Fiends of BN yang dianggapnya mudah saja untuk berbincang dengan Umno.
"Misalnya parti seperti Makkal Sakti, MUIP, Parti Punjabi, Kimma, IPF dan Parti Cinta Malaysia.
“Terbukti Friends of BN adalah rakan yang setia dan mudah berunding," katanya lagi.
