Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guru bahasa Inggeris dituduh lakukan amang seksual pada pelajar
Diterbitkan:  Feb 4, 2025 12:18 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Seorang guru sekolah menengah agama hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar lelakinya pada 2023.

Ahmad Fairus Abu Zaik, 44, membuat pengakuan berkenaan di hadapan majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Guru bahasa Inggeris itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan secara berasingan kepada dua pelajar lelaki berusia 13 tahun di bilik media sekolah terbabit antara 21 Ogos hingga Nov 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan keseluruhan RM12,000 untuk kelima-lima pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan 5 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS