Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya orang mimpi siang hari saran singkir MCA dari BN, kata Zahid

Pihak yang mencadangkan idea untuk menyingkirkan MCA dari BN, kata Ahmad Zahid Hamidi, sebenarnya sedang bermimpi di siang hari.

Bercakap kepada media di parlimen hari ini, Pengerusi BN dan Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu, tiada sebarang perbincangan dilakukan untuk mengeluarkan MCA dari gabungan tersebut.

Kata Ahmad Zahid, sama seperti parti komponen lain dalam BN, MCA adalah parti teras kepada gabungan berkenaan.

Pada masa sama, katanya, BN disokong oleh parti lain yang berada dalam kategori Friends of BN.

“Tidak ada perbincangan (bawa keluar parti MCA dari BN) dan tak pernah dibincangkan.

"Hanya mereka yang bermimpi di siang hari sahaja yang mencadangkan perkara itu berlaku," katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat penyelaras inap desa dengan pihak-pihak berkepentingan hari ini.

Beberapa hari lalu, Presiden MCA, Wee Ka Siong, mendakwa ada "pihak luar" yang mencadangkan agar Umno menyingkirkan parti berkenaan daripada BN.

MCA juga, kata Wee, sedang "menunggu" keputusan daripada Umno.

Tanpa menamakan mana-mana individu, bekas menteri pengangkutan itu turut mendakwa individu sama yang mendesak itu sebelum ini pernah menuduh MCA mengkhianati masyarakat Cina kerana hubungan mereka dengan Umno.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Wee dipercayai merujuk "pihak luar" itu kepada parti komponen PH - DAP - yang kini berada dalam kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun kenyataan itu dinafikan sudah dinafikan oleh beberapa pemimpin Umno termasuk Mohd Puad Zarkashi dan Abdul Rahman Dahlan.

Mohd Puad dan Abdul Rahmah merupakan anggta Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Kata Ahmad Zahid kerjasama dan persefahaman dalam kalangan anggota komponen BN adalah jitu.

"Kita (pemimpin BN) tidak akan terpengaruh dengan mana-mana desakan untuk penyingkiran mana-mana parti komponen dalam BN,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS