Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arab Saudi - Tiada normalisasi dengan Israel tanpa Palestin merdeka
Diterbitkan:  Feb 5, 2025 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

GLOBAL l Arab Saudi pada Rabu menegaskan pendiriannya bahawa normalisasi hubungan dengan Israel tidak akan berlaku tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, sekali gus menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa Riyadh telah menggugurkan tuntutan itu. 

Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pendirian kerajaan itu kekal “teguh dan tidak berubah” susulan kenyataan Trump ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Rumah Putih pada Selasa. 

“Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dengan jelas dan tanpa ragu-ragu mengulangi pendirian ini dalam titah ucapannya pada pembukaan sesi pertama penggal kesembilan Majlis Syura pada 18 September 2024,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu turut menggariskan bahawa Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan pada Sidang Kemuncak Arab-Islam di Riyadh pada 11 Nov tahun lalu, dengan menekankan keperluan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 serta menamatkan pendudukan Israel ke atas wilayahnya. 

“Arab Saudi menegaskan bahawa pendirian ini tidak boleh dirunding dan tidak boleh dikompromi. 

“Mencapai keamanan yang adil dan berkekalan adalah mustahil tanpa rakyat Palestin memperoleh hak-hak mereka yang sah sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini kepada kedua-dua pentadbiran AS terdahulu atau semasa,” menurut kenyataan itu. 

Dalam pertemuan itu, Trump turut mengumumkan rancangan untuk melawat Gaza, Arab Saudi serta beberapa lokasi lain di Timur Tengah. 

- Bernama-AA 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS