PARLIMEN l Ahli Parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) yang bukan sahaja gagal membantu bumiputera memiliki aset strategik, namun pembelian asetnya juga turut mencatatkan kerugian.
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), berkata kerajaan harus memberi perhatian terhadap tadbir urus serta tatakelola PHB dalam menguruskan dana awam.
Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2006, hanya 80,000 sahaja bumiputera berjaya memiliki pegangan hartanah yang diuruskan oleh PHB.

"PHB ditubuhkan pada 2006 di bawah Yayasan Amanah Tanah Bumiputera, (PHB diberi) mandat untuk membantu bumiputera membeli aset hartanah, namun, setakat ini hanya 80,000 individu bumiputera yang memiliki unit amanah bumiputera PHB.
"Sedangkan selebihnya dijual kepada institusi bumiputera, tempat pembeliaan aset tidak strategik menggunakan dana kerajaan dan pemilihan aset tidak strategik ini menggunakan peruntukan kerajaan.
"Ini antara contoh bangunan Elevate Medini di Johor dibeli dengan harga RM400 juta, tapi hari ini nilainya sekitar RM280 juta dan masih tiada penyewa, The Shore Shopping Galery di Melaka dibeli RM212 juta tapi hari ini bernilai RM90 juta," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih atas titah Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata sehingga kini PHB menerima dana geran kerajaan berjumlah RM1.2 bilion dan terakhir sebanyak RM100 juta pada tahun 2024.
Dia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan yang dia turut menerima memorandum selamatkan PHB daripada kakitangan syarikat pelaburan ini.

Memorandum mengenai kepincangan dalam tadbir urus PHB yang memerlukan tindakan serius daripada kerajaan.
Jelasnya, pembelian aset-aset seperti yang disebutnya menunjukkan penggunaan dana tidak efisyen menimbulkan persoalan serius.
"Pembelian ini menunjukkan pelaburan yang tidak strategik penggunaan dana yang tidak efisyen menimbulkan persoalan serius mengenai pengurusan, ketelusan dalam pelaburan aset-aset PHB.
"Jadi saya harap banyak perkara yana kita harus lihat, bukan sahaja PHB tapi juga GLC ataupun GLIC yang lain untuk kita beri tadbir urus tata kelola yang baik," katanya lagi.
