Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: SPRM rakam keterangan ‘Dato A’ dan ‘Dato R’
Diterbitkan:  Feb 8, 2025 12:00 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan dua bekas pegawai tinggi kerajaan yang kini berkhidmat sebagai pengerusi dalam firma berasingan di bawah satu konsortium perlombongan yang dikaitkan dengan pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah di Sabah.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh Malaysiakini, kedua-dua individu tersebut, sebelum ini hanya dikenali sebagai “Dato A” dan “Dato R,” telah memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu pada Khamis lalu.

Mereka dipanggil selepas pemberi maklumat itu, dalam satu laporan Malaysiakini pada Isnin lalu, mendakwa Adun Membakut, Arifin Arif, telah menawarkan satu penyelesaian untuk menutup mulutnya.

Penyelesaian itu didakwa melibatkan pemulihan lesen cari gali mineral yang telah dibatalkan dengan syarat pemberi maklumat menarik balik dakwaannya serta mengeluarkan kenyataan umum bahawa dana tersebut adalah sumbangan politik.

Arifin, yang juga menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, menafikan tuduhan tersebut dan membuat laporan polis berhubung artikel disiarkan Malaysiakini.

Dia turut menyifatkan dakwaan itu sebagai satu konspirasi oleh “kartel yang berusaha memonopoli perlombongan” di Sabah.

Dalam artikel berkenaan, pemberi maklumat - yang mendakwa memberi rasuah kepada Arifin dan beberapa Adun lain - mendakwa “rundingan” tersebut dilakukan melalui “Dato A” dan “Dato R”.

Dia juga mendakwa bahawa Arifin membawa kedua-dua individu itu sebagai saksi ke kediaman Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, di Likas.

Pemberi maklumat tersebut turut menyerahkan lebih 50 tangkap layar perbualan WhatsApp kepada Malaysiakini sebagai bukti bagi menyokong dakwaannya.

Keterangan pemberi maklumat itu turut direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor pada Khamis lalu, berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Arifin.

Laporan itu dibuat kurang daripada 24 jam selepas Adun tersebut memfailkan laporan polisnya.

Pemberi maklumat itu mendakwa Arifin, yang juga seorang menteri Sabah, membuat laporan polis palsu.

Dalam laporannya, pemberi maklumat tersebut menyatakan kesediaannya untuk ditahan dan didakwa jika siasatan membuktikan dakwaannya tidak benar.

Sebaliknya, dia menuntut agar Arifin diheret ke mahkamah sekiranya didapati membuat laporan polis palsu.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu cubaan untuk mencemarkan imej pentadbirannya, selain mendakwa pemberi maklumat itu bersekongkol dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS