Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek tembakan di Setia Alam ada 11 rekod jenayah, dadah
Diterbitkan:  Feb 9, 2025 8:36 AM
Dikemaskini: 2:14 AM

Suspek dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di Shah Alam semalam memiliki 11 rekod jenayah termasuk dadah.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata pihak polis mengenal pasti suspek merupakan seorang warga tempatan dan berusia lingkungan 30-an serta berkulit cerah.

“Polis sedang giat mengesan dan menangkap suspek yang juga mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Motif kejadian masih dalam peringkat siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua puluh tahun jika sabit kesalahan" ujarnya dalam kenyataan.

Menurut Hussein, mangsa dalam kejadian itu bekerja sebagai tukang cuci di pusat membeli belah tersebut dan kejadian berlaku ketika dia hendak menyimpan peralatan mencuci di aras P1.

"Suspek melepaskan tembakan sebanyak empat das mengenai kaki dan punggung mangsa.

"Dalam keadaan mengalami kecederaan tersebut, mangsa terus melarikan diri masuk ke dalam pusat beli belah untuk dapatkan bantuan manakala suspek lari ke aras P2," ujarnya.

Menurut Hussein, suspek kemudian bertindak melepaskan beberapa das tembakan mengenai cermin tingkap tangga dan pintu sliding door di aras P2, sebelum melarikan diri.

Suspek kemudian bertindak menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang pengunjung pusat membeli belah itu sambil mengacukan pistol dan memaksa membawanya keluar dari kawasan Shah Alam.

"Ketika melalui sebuah lebuh raya, suspek telah minta berhenti di tepi jalan lalu menghilangkan diri.

"Ekoran daripada kejadian tersebut, pihak polis telah menerima sebanyak tujuh laporan polis yang dibuat oleh saksi awam dan kesemua saksi terbabit telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis,” katanya.

Hussein meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dan brehubung dengan pegawai oenyiasat kanan ASP Mohd Afandi Ahmad di talian 0167252948 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS