Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN: Warisan nafi wujud persefahaman dengan mana-mana parti
Diterbitkan:  Feb 15, 2025 9:19 AM
Dikemaskini: 1:19 AM

Warisan menafikan wujudnya persefahaman melibatkan pembahagian kerusi dewan undangan negeri (DUN) di antara parti itu dengan BN Sabah menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, berkata dakwaan sebuah portal berita mengenai wujudnya persefahaman di antara Warisan dan BN Sabah itu hanyalah andaian dan spekulasi semata-mata.

“Saya telah menerima banyak panggilan serta pesanan WhatsApp daripada wartawan, ahli Warisan dan orang awam yang bertanyakan adakah ia benar bahawa satu persefahaman pilihan raya antara Warisan dan BN Sabah telah dibuat.

“Untuk pengetahuan semua, saya mengesahkan di sini bahawa tidak ada sebarang persefahaman pilihan raya dibuat di antara Warisan dan BN Sabah, termasuk juga dengan mana-mana parti politik yang lain,” katanya menerusi kenyataan di Kota Kinabalu semalam.

Katanya lagi, cadangan atau pendapat tentang persefahaman pilihan raya di antara Warisan dan parti-parti politik yang lain tidak pernah dibawa ke peringkat biro politik atau majlis tertinggi parti itu untuk dibincangkan.

Kelmarin, sebuah portal berita mendakwa Warisan dan BN Sabah mengadakan perbincangan bagi mencapai kompromi dalam PRN Sabah akan datang.

Laporan itu juga mendakwa kedua-dua pihak berkemungkinan tidak bertanding antara satu sama lain di 50 daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Sebelum ini, Ketua Menteri Hajiji Noor dilaporkan berkata kerajaan negeri mempunyai tempoh sehingga Okt ini sebelum DUN Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS