Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Biasa menteri makan sama' - Loke nafi perpecahan DAP
Diterbitkan:  Feb 15, 2025 8:41 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menafikan spekulasi bahawa wujud perpecahan dalam parti itu.

Sebaliknya menteri pengangkutan itu menegaskan ahli-ahli parti berkenaan pada masa ini kekal bersatu padu.

Kenyataan itu dibuat susulan tersebarnya gambarnya bersama Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, ketika menikmati hidangan sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Gambar berkenaan dilihat sebagai tanda kukuhnya hubungan antara kedua-dua pemimpin utama parti tersebut.

Namun spekulasi timbul apabila gambar itu dikatakan bertujuan menyampaikan mesej bahawa Loke dan Nga berpadu tenaga dalam menghadapi pemilihan parti itu yang dijadualkan pada 16 Mac depan.

“Apabila menteri makan bersama, ia tidak bermakna sesuatu yang istimewa.

“Saya kerap bertemu pemimpin DAP semasa menjamu selera. Minggu depan, saya juga akan menganjurkan majlis makan malam untuk meraikan ulang tahun Lim Kit Siang yang ke-84,” kata Loke menerusi rakaman video yang disiarkan China Press.

Sumber dalaman parti itu memaklumkan bahawa dengan gabungan Loke dan Nga, kedudukan Pengerusi Kebangsaan DAP, Guan Eng, dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mungkin tergugat jika enggan melepaskan jawatan sebagai pengerusi parti.

Difahamkan, jika Guan Eng bersetuju berundur, kem Loke-Nga mungkin memasukkannya dalam senarai “cai" bagi membolehkannya kekal berada dalam CEC.

Namun, jika Lim bertegas untuk bertanding, dia dijangka menghadapi tentangan sengit.

Kekalahan dalam pusingan pertama pemilihan CEC akan memberi tamparan hebat kepada Lim selaku bekas setiausaha agung.

Sehubungan itu, bekas menteri kewangan itu dilaporkan giat menghadiri pelbagai acara dalam usaha meraih sokongan perwakilan parti.

‘Sekadar ucapan Tahun Baru Cina’

Apabila ditanya mengenai mesej di sebalik gambar tersebut, Loke menjelaskan dia hanya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua.

"Awak nampak kan isyarat tangan saya? Semoga semua orang maju pada tahun baru, mendapat kesihatan yang baik, kejayaan dalam semua usaha, keamanan dan kemakmuran negara, dan DAP yang kuat,” katanya sambil tersenyum.

Menerusi sistem pemilihan DAP, perwakilan akan memilih 30 ahli CEC yang kemudiannya akan menentukan jawatan bagi kepimpinan utama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS