Bersatu Sabah hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan semua pihak berkuasa berkaitan untuk bertindak segera dan tegas terhadap dakwaan skandal rasuah di negeri itu.

"Sebarang alasan bagi melengahkan siasatan adalah tidak boleh diterima sama sekali," kata Setiausaha Bersatu Sabah yang baru dilantik, Yunus Nurdin pada satu kenyataan.

Menurut Yunus, keputusan ini dibuat dalam mesyuarat badan kepimpinan Bersatu Sabah yang dipengerusikan oleh Naib Presiden parti, Ronald Kiandee, pada Jumaat (14 Februari).

Pada Khamis (13 Februari), Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata SPRM tidak dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap skandal rasuah yang didakwa berlaku di Sabah kerana kekurangan maklumat.

Azam memberitahu Astro Awani, situasi ini berpunca daripada keengganan pemberi maklumat untuk berkongsi video yang dikatakan merakam perbualannya dengan wakil-wakil rakyat terbabit.

"Jadi maklumat (video diterbit Malaysiakini) kita ada itu terlalu sedikit dan sukarkan siasatan kami," kata Azam.

Bersatu Sabah desak tangani isu infra awam

Sementara itu, Yunus turut menuntut agar gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanggungjawab dan menyelesaikan isu gangguan bekalan elektrik, kekurangan air bersih, serta keadaan jalan raya yang teruk.

Dia mendakwa masalah ini semakin kritikal sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Pada masa yang sama, BPN Sabah juga menyelami denyut nadi rakyat yang terbeban dan terseksa dengan kenaikan kos sara hidup, yang melambung tinggi khususnya di negeri Sabah, yang gagal ditangani secara berkesan oleh pihak kerajaan," katanya.

Kepimpinan baru Bersatu Sabah

Selain itu, Yunus turut memaklumkan dalam mesyuarat pada hari Jumaat, beberapa pelantikan baru dalam kepimpinan Sabah Bersatu telah dibuat:

  • - Bendahari: Lim Ting Kai

  • - Ketua Penerangan: Suhaimi Buang

  • - Ketua Wanita: Rahimah Majid

  • - Ketua Wanita Muda: Nabila Norsahar