Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi tutup jasad Zayn Rayyan, lindungi dari orang awam
Diterbitkan:  Feb 17, 2025 6:38 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, dia menutup jasad Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menggunakan baju sejuknya selepas menemukan kanak-kanak autistik terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengiring di atas batu pasir di aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai.

Koperal Mohammad Hunter El Arash Jeanawie Untam, 35, berkata kawasan itu penuh dengan dengan orang awam ketika kanak-kanak terbabit ditemukan dalam operasi mencari pada malam 6 Dis 2023.

“Saya dengar jeritan yang mengatakan 'Dah jumpa tuan! Dah jumpa tuan!'

"Saya bersama sekumpulan orang awam menyusuri anak sungai itu dan keadaan ketika itu gelap. Saya lihat keadaan arwah (Zayn Rayyan) ketika itu tidak sedarkan diri dan mengiring di atas batu pasir.

“Keadaan ketika itu riuh rendah dan saya bertindak membuka sweater (baju panas) saya, serta tutup arwah. Kami melindungi arwah daripada dihampiri dan diambil gambar oleh orang awam,” katanya.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya (TPR) Aqharie Durranie Aziz pada hari keenam perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf.

Mohammad Hunter yang merupakan anggota Balai Polis Petaling Jaya berkata sementara menunggu forensik tiba di lokasi berkenaan, dia terdengar jeritan orang awam yang mengaku dirinya ayah Zayn Rayyan.

“Saya dengar seorang orang awam menjerit: 'Siapa bunuh anak aku, aku nak peluk anak aku!' dan saya mengarahkan orang awam menghalang tindakan lelaki itu untuk menghampiri arwah,” katanya.

Perbicaraan secara tertutup

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata setibanya forensik ke lokasi berkenaan, dia memaklumkan kepada pasukan terbabit bahawa sweater yang menutupi jasad Zayn Rayyan adalah miliknya.

Dia kemudian beredar ke atas bagi memberi ruang kepada pasukan tersebut menjalankan tugas.

Kepada soalan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri terbabit, Muhammad Hunter berkata dia tidak pasti orang awam yang mengikuti misi pencarian membuat rumusan bahawa Zayn Rayyan telah meninggal dunia atau dibunuh.

Dia juga tidak pasti datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd Reba, melihat keadaan cucunya dan telah memberitahu Zaim Ikhwan bahawa kanak-kanak itu telah dibunuh.

Sementara itu, seorang penduduk apartment, Siti Natrah Ismail, 68, memberitahu mahkamah dia ada melihat dua kanak-kanak berkejaran pada tengah hari semasa menyidai kain di ampaian belakang rumahnya pada 5 Dis 2023.

Katanya rumahnya terletak di aras paling bawah di blok R apartment berkenaan.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata dia tidak pasti siapakah dua kanak-kanak lelaki terbabit yang masing-masing memakai baju sekolah dan berbaju putih serta seluar hitam.

“Semasa saya masuk rumah, saya tidak nampak dua kanak-kanak itu dekat tangga depan rumah saya. Ini bermakna kanak-kanak itu sudah naik van sekolah,” katanya yang tinggal di apartment itu selama 21 tahun.

Sementara itu TPR Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon agar prosiding perbicaraan yang berlangsung esok melibatkan dua saksi pendakwaan kanak-kanak dijalankan secara siar langsung serta ditemani orang dewasa.

“Saksi-saksi itu tidak akan berada di dalam bilik mahkamah tetapi di lokasi lain dan keterangan mereka akan diambil melalui sambungan video.

“Pihak media tidak boleh mendedahkan identiti mereka dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika melanggar undang-undang,” katanya.

Hakim Dr Syahliza Warnoh kemudian membenarkan permohonan tersebut.

“Pihak media tidak dibenarkan melapor apa-apa butiran mengenai kanak-kanak ini dan sebarang perkara yang berkaitan kes ini bagi melindungi kanak-kanak terbabit.

“Selain itu, mahkamah menetapkan Khamis ini bagi saksi-saksi yang terlibat membuat pengecaman lokasi kejadian. Maknanya, tiada pihak lain yang perlu hadir kecuali hakim, jurubahasa, timbalan pendakwa raya, peguam, tertuduh dan saksi-saksi yang terlibat,” kata Syahliza.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira - kedua-duanya berumur 30 tahun - mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara memungkinkan ia menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaa, pada ka, 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Dis 2023 selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS