Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TV3 mohon maaf tetamu lelaki berpakaian wanita di AJL
Diterbitkan:  Feb 18, 2025 1:46 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

TV3 kesal berkaitan penyertaan tetamu lelaki yang berpakaian wanita dalam Anugerah Juara Lagu ke-39, di Kuala Lumpur, kelmarin.

“Kami mengambil maklum bahawa insiden ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan

masyarakat, dan memohon maaf atas kejadian tersebut,” kata TV3 dalam kenyataan sebentar tadi.

Terdahulu exco Selangor daripada PKR Najwan Halimi menempelak insiden itu sebagai "biadab dan memualkan”. 

Dia mempersoal sama ada TV3 cuba untuk menormalisasikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak atas alasan ia mencetuskan keresahan masyarakat dan menyentuh sensitiviti Islam.

Sementara itu, TV3 berkata, sebagai saluran penyiaran yang bertanggungjawab, TV3 sentiasa komited untuk mematuhi undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan.

“TV3 ingin menegaskan bahawa pakaian menyerupai wanita oleh tetamu tersebut tidak pernah dibenarkan dan tidak selari dengan norma dan nilai-nilai yang dijunjung oleh masyarakat Malaysia serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata TV3.

TV itu juga berjanji akan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS