Keluarga pelajar cemerlang perakaunan, allahyarham Aysar Zahran Saiful Alimin yang maut akibat dirempuh sebuah kereta di Hulu Langat pada 2 Feb lalu meminta polis menyegerakan siasatan.

Mereka berharap kertas siasatan dapat dilengkapkan segera dan pendakwaan dibuat dalam kes kemalangan di Jalan Hulu Langat-Ampang, Hulu Langat, itu.

Peguam keluarga Haniff Katri Abdulla berkata, anak guamnya berharap kertas siasatan dimajukan kepada Pejabat Peguam Negara bagi pertuduhan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ini kerana tertakluk kepada siasatan lengkap dipercayai cara pemanduan kereta tersebut dalam keadaan merbahayakan pengguna pengguna jalan raya mengikut keperluan undang-undang.

“Ia telah mengakibatkan kematian,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir bapa mangsa Saiful Alimin Mohd Mokhtar, 58 dan ibunya Salbiah Mohamed Ismail, 57 dan anak bongsu mereka berusia 13 tahun.

Saiful Alimin Mohd Mokhtar

Terdahulu Aysar Zahran, 20, maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang.

Allahyarham merupakan penerima biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program 

Asasi perakaunan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (Acca-FIA).

Dia mendapat keputusan amat cemerlang dengan meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan FIA pada Disember 2023.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan kejadian berlaku pukul 4.45 petang itu melibatkan sebanyak empat buah motosikal serta sebuah kereta. 

Menurutnya, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang datang dari arah Ampang masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak di tepi jalan. 

"Mangsa, Aysar Zahran disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima lagi penunggang dan pembonceng motosikal lain dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapat rawatan. 

"Kesemua mereka yang terlibat kemalangan berusia 17 hingga 38 tahun dengan seorang pemandu Perodua Alza berusia 27 tahun telah pun ditahan," katanya dipetik sebagai berkata.

Haniff berkata, pemandu kereta berkenaan kini sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu Saiful Alimin berkata, walaupun pihaknya reda dengan pemergian Aysar Zahran mereka berharap akan mendapat keadilan di sisi undang-undang.

“Kami berharap secara undang-undang siasatan kes berjalan dengan telus supaya pelaku dibawa ke mahkamah dan sekiranya didapati bersalah dikenakan hukuman yang sewajarnya.

“Ini bukan kerana anak kami sahaja, tetapi juga keadilan kepada pengguna jalan raya yang lain agar kes (begini) diselesaikan pihak polis dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.